Anda di sini

Sokongan terhadap UPKO Beaufort terus membara

Advertisement
 Madius (dua kiri) menerima borang keahlian UPKO cawangan baharu Padang Golf Menumbok. Turut kelihatan Ewon (kiri) dan Donald (kanan).
MASUK UPKO: Madius (dua kiri) menerima borang keahlian UPKO cawangan baharu Padang Golf Menumbok. Turut kelihatan Ewon (kiri) dan Donald (kanan).

KUALA PENYU: Kehilangan seorang permimpin dalam Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) Bahagian Beaufort khususnya di Kuala Penyu tidak sama sekali mematahkan semangat perjuangan parti berkenaan.

Malah, sokongan terhadap UPKO yang kini dipimpin pemangku Ketua Bahagian Beaufort Nelson W Angang terus membara.

Walaupun mungkin terpaksa membuat sedikit perubahan struktur terhadap pimpinan parti di kawasan itu, UPKO Bahagian Beaufort terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Presiden UPKO Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau yakin Nelson yang juga Setiausaha Agung UPKO mampu menggalas tugas dengan baik untuk memimpin serta mengukuhkan lagi sokongan rakyat terhadap parti berkenaan di Beaufort.

"Tahniah kepada Nelson atas pelantikannya sebagai Pemangku Ketua Bahagian UPKO Beaufort dan beliau juga mendapat sokongan besar daripada sebahagian Ahli Jawatankuasa (AJK) UPKO Beaufort.

"Ini membuktikan AJK serta ahli-ahli UPKO terus yakin dengan perjuangan parti ini walaupun pemimpin di sini meninggalkan kita," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian berkata demikian ketika berucap mengetuai rombongan pucuk pimpinan UPKO Pusat ke Kuala Penyu di sini.

Madius turut menyeru agar semua pemimpin serta ahli UPKO untuk terus fokus dalam perjuangan parti tanpa gentar dengan gertakan parti lawan.

Katanya, UPKO harus bersiap sedia menghadapi kemungkinan pilihan raya umum (PRU) akan diadakan lebih awal untuk memastikan Kuala Penyu kekal milik UPKO.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal masih kukuh walaupun dua wakil rakyat UPKO iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu Datuk Limus Jury serta ADUN Sugut Datuk James Ratib bertindak keluar parti.

"Kita turut mendengar banyak khabar angin termasuk kononnya Tan Sri Musa Aman akan kembali menjadi Ketua Menteri pada penghujung bulan Jun dan kerajaan akan bertukar.

"Ini semua hanya khabar angin yang mengelirukan rakyat. Mahkamah sudah menetapkan 26 Ogos sebagai tarikh baharu pendengaran iaitu untuk pendengaran permohonan.

"Selepas ini, akan ada lagi perbicaraan dan jika pada 26 Ogos mahkamah menolak permohonan itu, selesailah.

"Khabar angin ini hanya satu taktik pihak pembangkang di Sabah untuk menggugat kestabilan politik di sini," katanya.

Terdahulu, sokongan kuat terhadap UPKO Bahagian Beaufort semakin terbukti apabila satu lagi cawangan baharu iaitu Cawangan Padang Golf di Menumbok dibuka.

Pada majlis perjumpaan itu, Madius turut menerima sebanyak 38 borang menyertai UPKO daripada cawangan baharu berkenaan.

Turut hadir, Timbalan Presiden UPKO Datuk Donald Peter Mojuntin, Naib presiden UPKO Datuk Ewon Benedick, Ketua Pergerakan Pemuda yang juga Naib Presiden UPKO Joseph Felix Saang, Bendahari UPKO Datuk Dr. Laurentius Nayan Ambu, Ketua Penerangan UPKO Albert Bingkasan, Ketua Pergerakan Wanita UPKO Datin Juliana Jani serta pemimpin-pemimpin UPKO Pusat.

  • oleh
  • Advertisement