Anda di sini

Sistem pembakaran sisa pepejal mesra alam akan diperkenalkan

Advertisement
 Jaujan (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama Liew (kiri) dan Micheal selepas kunjungan berkenaan.
KENANGAN: Jaujan (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama Liew (kiri) dan Micheal selepas kunjungan berkenaan.

KOTA KINABALU: Sistem pembakaran sisa pepejal yang lebih mesra alam akan diperkenalkan pada setiap kawasan perumahan baharu di masa hadapan.

Ahli Parlimen Batu Sapi Datuk V.K Liew berkata, sistem itu sangat diperlukan di Bandar Sandakan khususnya kawasan Batu Sapi bagi mengatasi longgokan sisa pepejal yang banyak.

"Sandakan besar keluasannya, ia dibahagikan kepada kawasan seperti Sandakan Proper, Batu Sapi, Libaran, Kinabatangan dan Beluran.

"Longgokan sisa pepejal di Sandakan sangat besar dan menyebabkan masalah besar kepada semua penduduknya, bandar itu juga mempunyai satu lokasi dinamakan Bukit Sampah di Kilometer 8," katanya ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Datuk Jaujan Sambakong, di sini.

Beliau berkata, kawasan berkenaan mempunyai sistem pembakaran tetapi asap yang dihasilkan itu memberikan masalah kepada penduduk di sekitarnya khususnya dari segi kesihatan.

Katanya, satu usaha perlu dilakukan untuk mengusahakan sistem yang lebih mesra alam serta mengurangkan impak terhadap kesihatan penduduk.

"Oleh itu, tujuan kunjungan hormat hari ini adalah khusus membincangkan perkara itu serta isu-isu berkaitan negara, negeri dan kawasan.

"Batu Sapi khususnya mempunyai lebih daripada 33 buah perkampungan, kampung-kampung berkenaan berhadapan dengan masalah sisa pepejal.

"Sesetengah kawasan setinggan sudah digazetkan sebagai perkampungan, tetapi isu sisa pepejal dari lautan ke perkampungan menjadi masalah serius," katanya.

Menurutnya, menteri KKTP menjelaskan terdapat dua sistem pembakaran yang besar diguna pakai di Semporna.

"Oleh itu beliau (Jaujan) mencadangkan agar sistem pembakaran sisa pepejal mesra alam akan dibina di setiap perumahan pada masa hadapan.

"Ini adalah idea yang baik dan saya menyokongnya, Batu Sapi khususnya memerlukan sistem itu dan kami akan bekerja keras untuk mendapatkan sistem berkenaan," katanya.

Selain itu katanya, menteri KKTP juga mencadangkan agar kempen kebersihan akan terus dilakukan di seluruh perkampungan dalam negeri ini.

Katanya, KKTP mempunyai satu unit untuk tujuan berkenaan, Pejabat Parlimen Batu Sapi dan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) akan mengadakan kerjasama bagi menganjurkan satu pertandingan.

"Pertandingan ini akan menggalakkan orang kampung untuk mengekalkan kebersihan di kampung masing-masing.

"Sekiranya bersih, kampung berkenaan akan diberikan anugerah. Anugerah ini akan diumumkan sendiri menteri KKTP dalam tempoh terdekat," katanya.

Hadir sama ialah Pegawai Khas Ahli Parlimen Batu Sapi Micheal Tham.