Anda di sini

Sektor swasta dilibatkan rangka dasar ekonomi sosial

Advertisement
 Uggah bersama isterinya Datin Amar Doreen menunjukkan produk syarikat tersebut. Turut kelihatan berdiri di belakang mereka adalah Pooh.
BERKUALITI: Uggah bersama isterinya Datin Amar Doreen menunjukkan produk syarikat tersebut. Turut kelihatan berdiri di belakang mereka adalah Pooh.

KUCHING: Kerajaan akan melibatkan sektor swasta dalam mewujudkan dasar ekonomi sosial pasca-COVID-19.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah berkata, dasar itu antara lain akan mempromosikan eksport makanan dari negeri ini, selain memberi insentif kepada para pelabur.

Ia juga untuk menentukan ruang lingkup bagi kerjasama yang wujud antara kerajaan dan swasta.

“Kami akan berunding dengan sektor swasta dalam menggubal dasar ini,” ujarnya pada lawatan ke Thian Yien Enterprise Sdn Bhd, sebuah syarikat tempatan yang mengkhusus dalam pengeluaran pelbagai jenis sos dan produk makanan restoran di sini, semalam.

Syarikat itu mengeksport sos ke negara-negara ASEAN dan Hong Kong, selain terlibat dalam proses menghasilkan produk makanan restoran untuk dijual di pasar raya.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata, kerajaan akan membantu syarikat tempatan yang sedang berkembang maju untuk menembusi lebih banyak pasaran antarabangsa.

Jelasnya, ia untuk mencapai visi Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, iaitu menjadikan negeri ini sebagai pengeksport makanan dan produk makanan menjelang 2030.

“Apabila negeri dapat menghasilkan lebih banyak makanan termasuk untuk eksport, kita dapat mengurangkan defisit import masa depan yang mencapai satu jumlah besar pada 2018 iaitu RM3.6 bilion,” ujar beliau sambil menambah, salah satu masalah besar yang terlibat adalah menentukan produk yang dapat dihasilkan oleh negara.

“Dengan jumlah tanah yang kita ada, kita memiliki potensi besar. Kita juga mempunyai reputasi menghasilkan makanan yang sihat dan dalam perniagaan ini, kepercayaan sebegitu merupakan aset hebat,” katanya.

Uggah mengatakan salah satu potensi untuk negeri ini adalah perikanan darat.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa Thian Yen Enterprise telah menyatakan minatnya untuk menternak  udang krai untuk dieksport.

“Kami sedang mengusahakan bagaimana kami dapat menampung minat ini untuk situasi sama menang,” jelasnya sambil menambah, syarikat itu merupakan antara contoh pengusaha tempatan berjaya yang dapat membantu negeri ini memodenkan sektor pertanian terutama untuk meningkatkan jumlah eksportnya.

Uggah yang ditemani Setiausaha Tetap Kementeriannya Edwin Abit dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Dr Alvin Chai, dibawa oleh Pengarah Urusan Thian Yien Enterprise Sdn Bhd Pooh Chee Ngee untuk melihat sendiri aktiviti pengeluaran syarikat itu.

Advertisement