Anda di sini

Ribut membadai selatan China, 12 korban banjir

Advertisement
 Keadaan banjir selepas hujan lebat di pekan Mianning dalam wilayah autonomi Liangshan Yi di Sichuan, kelmarin.  — Gambar AFP
MUSIM BAH: Keadaan banjir selepas hujan lebat di pekan Mianning dalam wilayah autonomi Liangshan Yi di Sichuan, kelmarin. — Gambar AFP

BEIJING: Hujan lebat se-panjang hujung minggu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang di wilayah Sichuan di barat daya China, lapor media negara semalam, ketika air yang naik menyebabkan pemindahan besar-besaran semasa musim banjir tahunan.

Angka akibat ribut di pekan Mianning termasuk dua kematian setelah beberapa kenderaan terjunam ke dalam sebatang sungai selepas banjir memusnahkan sebatang lebuh raya.

Sepuluh orang masih hilang dan lebih 7,000 orang telah dipindahkan dari rumah mereka, kata agensi berita rasmi Xinhua.

China Selatan dilanda ribut yang menyebabkan tanah runtuh dan banjir sejak awal Jun, dengan sekurang-kurangnya 78 terkorban, menurut kepada kementerian pengurusan kecemasan.

Seramai 12 juta lagi penduduk terjejas akibat kerosakan harta benda, penutupan jalan dan gangguan lain, termasuk 720,000 orang yang diselamatkan atau ditempatkan semula akibat banjir oleh kakitangan kecemasan.

Musim banjir telah menyebabkan 25.7 bilion yuan dalam bentuk kerugian ekonomi, kata pihak kementerian, tamparan selanjutnya terhadap ekonomi domestik yang sedang mengalami kesan pandemik koronavirus.

Gambar dan video yang dikeluarkan media rasmi menunjukkan ladang tenggelam dan anggota penyelamat meranduk air separas pinggang sambil menggendong penduduk tempatan.

Di bandar besar berhampiran Chongqing, paras air naik lebih lima meter di atas paras keselamatan banjir, menghasilkan satu rekod baharu.

Kerajaan pusat merancang untuk membelanjakan sekurang-kurangnya 200 juta yuan bagi peralatan bantuan banjir termasuk khemah dan tilam bagi mangsa yang dipindahkan, menurut kementerian kecemasan kelmarin. — AFP

Advertisement