Anda di sini

Rabies: Khidmat kontraktor digunakan untuk tangkap anjing liar di Sibu

Advertisement
Ting pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan MPS di pejabat MPS, hari ini.

SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) akan mengambil langkah untuk mengeluarkan kontrak menangkap anjing liar kepada syarikat kontraktor dalam usaha membendung penularan wabak rabies dalam kawasan pentadbirannya.

Pengerusinya Clarence Ting berkata, langkah proaktif itu terpaksa diambil memandangkan masalah rabies di Sibu pada masa ini lebih membimbangkan daripada wabak COVID-19.

"Wabak rabies telah meragut dua nyawa di Sibu setakat ini, tetapi tiada nyawa yang hilang akibat penularan COVID-19 di sini.

"Sebab itu, pada (mesyuarat bulanan MPS) pagi ini, kami telah meluluskan untuk mengupah pihak syarikat kontraktor swasta (untuk menangkap anjing liar). 

"Kita harap, dengan langkah ini akan dapat meminimumkan masalah rabies di Sibu," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan di pejabat MPS, hari ini.

Menurut Ting, pihak MPS juga telah meningkatkan jumlah petugas menangkap anjing mereka daripada lima orang kepada 11 orang.

"Namun jumlah itu masih tidak mencukupi kerana jumlah anjing liar yang berkeliaran di jalanan masih banyak," katanya.

Beliau juga memberitahu pihaknya akan menjalin kerjasama dengan Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) untuk memastikan masalah rabies dapat dibendung dengan lebih cepat dan efektif.

Katanya, terdapat enam kawasan dalam kawasan pentabiran MPS telah diisytihar sebagai kawasan rabies, manakala empat dalam kawasan MDLBS.

"Oleh kerana ia (rabies) dalam kawasan MDLBS, kita tidak perlu risau. Tidak, anjing ini sentiasa bergerak-gerak dan ini menyukarkan pasukan penangkap anjing kita untuk mengesan mereka.

"Sebab itu, kita akan berkerjasama dengan pihak MDLBS untuk membendung masalah ini kerana ia sangat serius," katanya.

Ting dalam sidang media itu juga turut mendedahkan bahawa anjing yang menyerang dua orang penangkap anjing MPS baru-baru ini telah disahkan positif rabies.

Sehubungan itu, beliau menggesa pemilik anjing supaya memastikan anjing peliharaan mereka sentiasa dikurung dalam kawasan rumah bagi mengelak dijangkiti rabies.

"Saya menyeru penduduk Sibu supaya tidak memandang ringan akan masalah rabies ini kerana penyakit ini tidak ada penawar dan mampu meragut nyawa," tegasnya.
 

  • oleh
  • Advertisement