Anda di sini

Polis tumpas kegiatan edar dadah, tahan lelaki ketika timbang syabu di Miri

Advertisement
Lim (dua kiri) dan Sabri (kiri) masing-masing menunjukkan ketulan dadah jenis syabu yang berjaya dirampas daripada seorang lelaki dalam satu serbuan pada Isnin.
Lim (tengah) dan Sabri (kiri) menunjukkan ketulan dadah jenis syabu yang dirampas daripada suspek dalam satu serbuan pada Isnin.

MIRI: Polis berjaya melumpuhkan aktiviti pengedaran dadah dengan penangkapan seorang lelaki dalam satu serbuan di sebuah rumah di kawasan Pujut, pada Isnin.

Operasi itu dijalankan oleh pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak kira-kira jam 6.30 petang.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Lim Meng Seah berkata semasa serbuan dibuat, suspek, 35, sedang menimbang dadah jenis methamphetamine (syabu) di atas lantai di bilik rumah terbabit.

"Hasil pemeriksaan ke atas lelaki berkenaan, pihak polis telah merampas 16 peket plastik lutsinar masing-masing berisi ketulan-ketulan kristal disyaki syabu seberat 800 gram.

"Di samping itu, polis merampas satu kotak yang berisi 413 papan pil masing-masing mengandungi 10 biji pil Eramin 5 bersamaan 4,130 biji dengan berat 1,239 gram dan anggaran rampasan dadah berjumlah RM89,560," katanya pada sidang media di IPD Miri di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Miri, Superintenden Mohd Sabri Zainol dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Miri, ASP Zulpaka Aidiee.

Lim berkata nilai anggaran methamphetamine yang dirampas ialah RM40,000 sementara Eramin 5 pula, RM49,560.

Mengulas lanjut, lelaki yang berasal dari Selangor itu bergerak sendiri dalam mengedar dadah untuk pasaran tempatan dan luar negara termasuk negara jiran, Brunei Darussalam.

"Saringan awal air kencing terhadap suspek juga didapati positif dadah jenis benzo dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," jelasnya.

Lim menambah pihaknya turut menyita dua buah kenderaan dengan anggaran rampasan berjumlah RM235,000.

Pada masa sama, polis turut merampas pelbagai barangan lain seperti televisyen, rantai emas, loket, cincin dan pelbagai wang tunai tempatan dan dollar Singapura dan Brunei Darusalam.

"Anggaran nilai sitaan harta keseluruhan ialah RM255,782 dan suspek telah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan," katanya.