Anda di sini

PKS Sabah dapat manfaat besar sekiranya pencalonan Shafie jadi kenyataan

Advertisement
FOO
FOO

KOTA KINABALU: Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Sabah akan mendapat manfaat besar sekiranya cadangan mencalonkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri Malaysia menjadi kenyataan.

Presiden Persatuan PKS Sabah Foo Ngee Kee berkata, keadaan itu mempunyai kebenaran tersendiri memandangkan PKS Sabah berhadapan dengan kekangan untuk mendapatkan insentif serta bantuan secukupnya daripada Kerajaan Pusat kepada PKS seluruh negara.

"Perkara ini dapat dirasai ketika pandemik COVID-19 melanda negara ini khususnya negeri Sabah. Contohnya, banyak PKS Sabah tidak mendapat Kemudahan Bantuan Khas (SRF) pada 3.5 peratus, Program Subsidi Upah (PSU) sebanyak RM1,200 sebulan kepada setiap pekerja lewat diluluskan, selepas diluluskan ianya tidak disalurkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada sesetengah pengusaha PKS sehingga menyebabkan kelewatan selama dua bulan.

"Saya pasti sekiranya cadangan Shafie menjadi Perdana Menteri menjadi kenyataan, perkara seumpamanya dapat diselesaikan dengan pantas dan mudah," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, sepanjang dua tahun sebelum ini, PKS Sabah terlibat secara aktif dengan pelbagai kementerian di negeri ini.

"Kami sentiasa dialu-alukan untuk mengutarakan idea kepada kementerian-kementerian di Sabah untuk dipertimbangkan.

"Sejumlah besar idea yang diutarakan kami diterima baik oleh kementerian-kementerian di Sabah, keadaan ini sekaligus memberikan kami motivasi untuk terus terlibat secara aktif dengan para kementerian ini demi kebaikan rakyat Sabah," katanya.

Beliau menjelaskan ketika Datuk Darell Leiking menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), PKS Sabah telah diberikan banyak peluang untuk menghadiri seminar seperti IR4.0 untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dalam operasi perniagaan masing-masing.

Katanya, sesetengah seminar berkenaan turut diadakan di bandar seperti Sandakan, Tawau dan seluruh pelusuk negeri ini.

Foo berkata, gelaran 'Perdana Menteri untuk rakyat' mampu untuk membawa sama rata dan keadilan dalam program pembangunan serta penyaluran kekayaan kepada rakyat Malaysia.

"Shafie adalah seorang Ketua Menteri yang mengutamakan rakyat, beliau juga kerap turun padang untuk bersama-sama rakyat bagi mengetahui permasalahan yang dihadapi rakyat.

"Ditambah dengan pengalaman 30  tahun dalam perkhidmatan bersama Kerajaan Persekutuan di tujuh kementerian, beliau sudah pasti adalah calon terbaik sebagai Perdana Menteri untuk rakyat.

"Beliau faham isu-isu yang wujud menerusi pengalaman peribadi, bukan sahaja di Sabah tetapi juga seluruh Malaysia," katanya.

Menurutnya, inilah Malaysia perlukan pada masa kini, mempunyai seorang Perdana Menteri yang boleh membawa keadilan dan kesaksamaan dalam program pembangunan dan pengagihan kekayaan dalam kalangan rakyat negara.

Katanya, tidak dinafikan bukan tugas mudah untuk mencapai kesaksamaan yang seadil-adilnya tetapi memacu ke arah pencapaian keamanan serta kestabilan perlu diutamakan kerana pada akhirnya keadaan itu akan membawa kepada pembangunan ekonomi.