Anda di sini

Permohonan operasi taska dan tadika swasta dilulus dalam tempoh 35 hari

Advertisement
 Fatimah (tengah) bercakap kepada pemberita di pejabatnya di Kuching semalam.
SIDANG MEDIA: Fatimah (tengah) bercakap kepada pemberita di pejabatnya di Kuching semalam.

KUCHING: Permohonan operasi taska dan tadika swasta yang lulus pematuhan syarat dan prosedur mengikut ketetapan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) akan diluluskan dalam tempoh 35 hari.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata ia ekoran aduan ramai operator taska dan tadika swasta yang mengadu proses kelulusan itu mengambil masa.

“Kelulusan untuk menjalankan operasi sebuah taska dan tadika di sini agak berlainan berbanding mereka di Semenanjung Malaysia kerana ia turut melibatkan agensi teknikal.

“Kementerian amat serius dalam memastikan semua taska dan tadika di seluruh negeri menjamin keselamatan anak-anak,” katanya pada sidang media tentang prosedur operasi standard (SOP) pendaftaran taska di Sarawak di pejabatnya semalam.

Bagaimanapun, terdapat pematuhan yang perlu diikuti oleh para operator taska dan tadika agar permohonan mereka diluluskan.

Kata Fatimah antara perkara yang sering menjadi permasalahan bagi kelulusan permohonan daripada jabatan itu dipercepatkan adalah disebabkan lokasi taska dan tadika yang terletak di jalan mati atau persimpangan jalan yang sibuk.

Juga tegasnya, taska atau tadika berkenaan tidak mendapat persetujuan bersama dengan jiran tetangga yang tinggal bersebelahan selain kawasan parkir untuk ibu bapa mengambil anak tidak bersesuaian.

“Bermula 1 Januari hingga 31 Mei lalu sebanyak sembilan taska dan tiga tadika belum mendapat kelulusan bagi mendapatkan lesen daripada Jabatan Tanah dan Survei kerana tidak mematuhi syarat yang telah ditetapkan pihaknya itu.

“Lesen beroperasi juga dipanjangkan tempohnya daripada tiga tahun kepada lima tahun selaras dengan pihak JKM dan setiap permohonan yang tidak diluluskan pihaknya akan diberikan surat sebab bagi pengetahuan operator yang memohon.

“Perkara ini telah dipersetujui menerusi bengkel yang telah dijalankan kementerian pada 23 dan 24 Jun lalu melibatkan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, pihak berkuasa tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Selain Persatuan Pengasuh dan Pendidik Awal Kanak-kanak Sarawak (3PAKS), SeDidik Sdn Bhd, Persatuan Pengasuh Berdaftar Sarawak (PPBS) dan Persatuan Pengasuh dan Pendidik Awal Kanak-Kanak Islam (PAKIS),” jelasnya.

Para persatuan itu tambahnya, akan menghebahkan maklumat tersebut kepada keahlian mereka di seluruh negeri.

Sehingga 9 Jun terdapat 119 taska swasta dan 484  tadika swasta telah berdaftar dengan JKM namun sehingga 31 Mei, sebanyak 28 taska dan lima tadika swasta yang masih dalam proses di JTS.

Beliau turut mengingatkan bahawa pihak JTS tidak mengenakan sebarang caj konsultan manakala Jabatan Pendidikan Sarawak turut memansuhkan ‘Perakuan Pendafataran Sementara’.

Turut hadir Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Rosey Yunus, Setiausaha Tetap Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dr Saadiah Abdul Samat dan Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Noriah Ahmad.

Advertisement