Anda di sini

Penduduk terjejas banjir di Kg Rampayan akan dipindahkan

Advertisement
 Azhar (tengah) bersama rombongan ketika meninjau keadaan penduduk kampung berkenaan yang terjejas banjir.
TINJAU: Azhar (tengah) bersama rombongan ketika meninjau keadaan penduduk kampung berkenaan yang terjejas banjir.

KOTA KINABALU: Sebanyak 112 rumah penduduk yang terlibat dengan proses meluaskan kawasan sungai di Kampung Rampayan Manggatal dekat sini akan dipindahkan ke satu kawasan baharu.

Pembantu Menteri Pembangunan dan Perindustrian Azhar Matussin berkata, langkah itu bagi menyelesaikan masalah banjir yang melanda penduduk kampung terbabit sejak sekian lama.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai turut meminta agar penduduk kampung bersabar untuk sedikit masa lagi.

"Kerajaan negeri berusaha untuk memastikan masalah ini dapat diatasi dalam tempoh terdekat.

"Kerja-kerja awal meluaskan kawasan sungai Rampayan Manggatal kini giat dijalankan dalam masa sama kita juga akan mengenal pasti tapak pemindahan bagi penduduk kampung yang terlibat.
 
"Justeru, penduduk kampung ini dan mereka yang tinggal di kawasan sekitar perlu bersabar sementara kerja-kerja meluaskan sungai dijalankan,” katanya.

Azhar berkata demikian kepada media selepas menyampaikan sumbangan kepada penduduk yang terjejas banjir di Kampung Rampayan Mangggatal kelmarin.

Menurutnya, kerja meluaskan sungai berkenaan di bawah bidang kuasa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), manakala mesyuarat bersama pemimpin masyarakat sedang giat dijalankan.

"Keperluan untuk meluaskan sungai di kampung ini sangat mendesak kerana setiap kali hujan pasti berlaku banjir kilat yang menjejaskan penduduk sekitar," jelasnya.

Semasa lawatan itu, Azhar menyampaikan sebanyak 280 sumbangan kepada keluarga yang terlibat banjir di kawasan itu.

  • oleh
  • Advertisement