Anda di sini

Pelajar maut, motosikal rempuh pacuan empat roda

Advertisement
 Keadaan pacuan empat roda yang rosak di bahagian depan akibat dirempuh motosikal mangsa.
REMUK: Keadaan pacuan empat roda yang rosak di bahagian depan akibat dirempuh motosikal mangsa.

TAWAU: Seorang pelajar tingkat lima maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Utara Baru simpang Taman King Fook, di sini.

Kejadian yang dilaporkan kira-kira jam 8.35 malam itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Taman Ria menuju balik ke rumahnya di Tanjung Batu.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, mangsa dikenali Muhammad Nazrul Hisyam Firman, 17, maut ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital besar Tawau.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati semasa di lokasi kejadian, pemandu pacuan empat roda, 30, dipercayai memasuki laluan mangsa sebelum cuba memasuki simpang ke sebelah kanan.

"Jarak yang terlalu dekat menyebabkan mangsa tidak dapat mengelak dan melanggar bahagian depan pacuan empat roda terbabit mengakibatkan mangsa terseret sejauh 3.4 meter sebelum tercampak di jalan raya.

Menurutnya, hasil siasatan lanjut, mendapati pemandu pacuan roda terbabit memandu secara cuai ketika memasuki simpang sehingga mengakibatkan kemalangan berlaku.

"Kita sudah menahan pemandu pacuan empat roda terbabit untuk membantu siasatan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.