Anda di sini

Pearson beri amaran ada penyingkiran jika tewas

Advertisement

WATFORD, England: Pengurus Watford, Nigel Pearson, memberi amaran kepada pasukannya tentang ancaman penyingkiran jika mereka tidak berhenti memberikan mata ‘hadiah’ kepada pasukan lawan selepas tewas 1-3 kepada Southampton di tempat sendiri dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada Ahad.

Danny Ings melakukan dua penyudah cantik untuk meningkatkan peluang beliau memburu anugerah penyerang terbanyak liga ketika Southampton secara asasnya mengekalkan tempat dalam Liga Perdana untuk musim hadapan selepas mengumpul 40 mata.

Hari yang buruk buat Watford bermula sebelum sepak mula apabila tiga pemainnya dikeluarkan dari senarai skuad perlawanan kerana melanggar protokol koronavirus (COVID-19).

Watford berkata Andre Gray, Nathaniel Chalobah dan Domingos Quina, tidak disenaraikan ke dalam skuad untuk melindungi “kesihatan dan keselamatan semua pemain, kakitangan dan pegawai kelab” selepas Gray menganjurkan satu parti ulang tahun kelahiran pada Jumaat dengan jumlah kehadiran tetamu yang melebihi had yang dibenarkan.

Dalam padang, Watford juga bermula hambar sejak musim disambung semula apabila hanya mengutip satu mata dari tiga perlawanan pertama, menyebabkan mereka kini satu mata di atas zon penyingkiran.

“Kami sentiasa ketinggalan hampir sepanjang permainan,” kata Pearson. “Anda tidak dapat  bolos gol seperti memberikan hadiah, ia menjadikan tugas anda lebih sukar.”

Watford adalah satu-satu pasukan yang menewaskan juara liga, Liverpool pada musim ini dalam aksi liga dan juga menewaskan Manchester United awal kehadiran Pearson sebagai pengurus pada bulan Disember.

Dengan kelab terbawah  liga, Norwich, Newcastle United dan West Ham United adalah lawan lemah dalam tiga dari empat perlawanan seterusnya, Pearson tetap yakin Watford boleh mengelak penyingkiran jika menemui prestasi terbaik mereka.

“Kami tidak mencapai prestasi yang kami mampu lakukan,” tambah beliau. “Kami masih mempunyai beberapa perlawanan yang membolehkan kami menentukan masa depan kami sendiri dalam Liga Perdana.”

Ings mungkin bersama-sama skuad England di Euro 2020 bulan ini jika pandemik COVID-19 tidak menangguhkan kejohanan itu ke tahun hadapan tetapi beliau mengekalkan rentak sebelum musim terhenti selama tiga bulan.

Bekas penyerang Liverpool itu menemui ruang di hujung kotak penalti sebelum merembat cantik ke pintui gol untuk meletakkan Southampton di hadapan pada minit ke-16.

Keadaan menjadi lebih buruk buat Watford apabila tolakan lemah penjaga gol Ben Foster membolehkan Ings menjaringkan gol kedua untuk gol liga ke-18 beliau musim ini dan hanya kurang satu gol dari Jamie Vardy di senarai penjaring terbanyak liga setakat  ini.

“Saya hanya mahu menjaringkan seberapa banyak gol yang saya mampu,” kata Ings ketika bercakap tentang peluangnya mengatasi penyerang seperti Vardy, Pierre-Emerick Aubameyang, Mohamed Salah dan

Sadio Mane untuk merebut anugerah Kasut Emas selaku penjaring terbanyak liga.

Gol sendiri Jan Bednarek membolehkan Watford merapatkan kedudukan tetapi sebarang harapan untuk bangkit mencari gol penyamaan musnah apabila James Ward-Prowse menjaringkan gol ketiga Southampton tiga minit selepas itu dari satu tendangan percuma cantik. — AFP

Advertisement