Anda di sini

Menderma darah di bangunan PBSM Cabang Miri kini dipermudah

Advertisement
 Pegawai dari Bank Darah Hospital Miri Kenneth Numan (berdiri, kanan) dan Karambir (berdiri, kiri) bersama penderma darah tetap Fong Yun Hian (kanan) dan dua anak beliau Juliana serta Aaron.
USAHA MURNI: Pegawai dari Bank Darah Hospital Miri Kenneth Numan (berdiri, kanan) dan Karambir (berdiri, kiri) bersama penderma darah tetap Fong Yun Hian (kanan) dan dua anak beliau Juliana serta Aaron.

MIRI: Bagi orang ramai khususnya penderma darah tetap yang tidak berkesempatan untuk berkunjung ke Bank Darah, Hospital Miri bagi tujuan menderma darah, mereka kini mempunyai pilihan untuk melakukannya di bangunan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Cabang Miri di Jalan Bulat Sabit di sini.

Aktiviti menderma darah di bangunan PBSM diadakan pada setiap hujung minggu, Sabtu dan Ahad, bermula jam 8.30 pagi hingga 1 petang.

Kempen menderma darah pada hujung minggu itu bermula Sabtu lalu dan akan berterusan sehingga akhir Julai depan.

Sehubungan itu, jadual menderma darah yang diadakan setiap Rabu sebelum ini tidak lagi diteruskan.

Sementara itu, bagi yang ingin menderma darah terus di Tabung Darah Hospital Miri, mereka masih boleh berbuat demikian, pada waktu pejabat dari Isnin hingga Khamis, bermula jam 8.30 pagi hingga 12 tengah hari dan 2.30 jam 4 petang manakala pada hari Jumaat, bermula jam 8.30 pagi hingga 11 pagi dan jam 2.30 petang hingga 4 petang.

Sehubungan itu pihak Bank Darah Hospital Miri memohon kerjasama orang ramai khususnya mereka yang sihat dan boleh menderma darah, untuk berbuat demikian bagi menampung keperluan dan bekalan darah d hospital berkenaan.

“Kerjasama erat antara Hospital Miri dan PBSM Cabang Miri akan memastikan kempen derma darah ini dilaksanakan dengan berjaya bagi memastikan bekalan darah yang berterusan, terutama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika pandemik COVID-19 ini,” kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengambilan Derma Darah PBSM Cabang Miri Karambir Singh.

“Sekali lagi kami ingin menyampaikan rasa terima kasih dan penghargaan semua penderma yang sudi menyumbangkan darah mereka untuk membantu nyawa insan lain,” katanya sambil menambah, terutama semasa keadaan yang mencabar ini.

Katanya, orang ramai yang mahu menderma darah di pejabat PBSM Cabang Miri pada hujung minggu boleh menghubungi beliau di talian 016-8785500 dan untuk sebarang pertanyaan lanjut.

Advertisement