Anda di sini

Manfaatkan peruntukan Dana Pembiayaan Mikro Kredit Agro Makanan - Kiandee

Advertisement
Kiandee (tengah) bersama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abdul Razak (kiri) melihat anak benih pokok durian ketika melawat gerai pameran pada Majlis Tinjauan Mesra Pertanian Bandar di Balai Raya Felda Chini Satu hari ini. - Gambar Bernama 
Kiandee (tengah) bersama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abdul Razak (kiri) melihat anak benih pokok durian ketika melawat gerai pameran pada Majlis Tinjauan Mesra Pertanian Bandar di Balai Raya Felda Chini Satu hari ini. - Gambar Bernama 

PEKAN: Mereka yang terlibat dalam bidang pertanian dan penternakan disaran memanfaatkan peruntukan sebanyak RM350 juta di bawah Dana Pembiayaan Mikro Kredit Agro Makanan bagi merancakkan kembali industri pengeluaran makanan negara, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee. 

Beliau berkata peruntukan itu memang disalurkan khusus untuk membantu mereka yang terjejas akibat pandemik wabak COVID-19, bagi membantu memulihkan ekonomi negara. 

"Sejak diumumkan Sabtu lalu (bantuan dana Agrobank untuk kumpulan sasaran iaitu usahawan agro), kita dimaklumkan bahawa pihak bank kini mendapat banyak pertanyaan daripada mereka dan kita berharap mereka mengambil peluang yang diberikan," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Walkabout di Felda Chini 1 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Pada 8 Jun lepas, Kiandee mengumumkan dana kredit mikro bernilai RM350 juta sebagai bantuan kepada usahawan agro yang terjejas akibat COVID-19.

Dalam perkembangan lain, Kiandee berkata pihaknya menyasarkan penyertaan 800 komuniti dan 12,000 individu dalam program pertanian bandar di seluruh negara. 

Beliau berkata peruntukan sebanyak RM10 juta telah diumumkan di bawah Pakej Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi menggalakkan lebih ramai terlibat dalam aktiviti berkebun. 

"Kita menggalakkan mereka yang berminat untuk menanam tanaman yang cepat mengeluarkan hasil seperti sayur-sayuran dan herba dengan menggunakan bantuan yang diberikan dalam bentuk peralatan, benih dan baja," katanya.

Kiandee berkata beliau dimaklumkan beberapa komuniti di Pekan sudah menyatakan minat untuk menyertai program itu selepas melihat kejayaan yang diraih Flat Seri Perlis 2 di Kuala Lumpur. - Bernama