Anda di sini

Manchester City berjaya mara ke peringkat separuh akhir

Advertisement

LONDON, England: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, percaya ia adalah lebih mudah untuk pasukannya memberi fokus kepada memburu kejuaraan pertandingan piala pada baki musim ini selepas melangkah ke peringkat separuh akhir Piala FA Inggeris dengan kemenangan 2-0 di Newcastle United pada Ahad.

City akan menentang Arsenal di Wembley untuk perlawanan separuh akhir pada bulan hadapan selepas Arsenal menjaringkan gol kemenangan pada minit  kecederaan untuk menewaskan Sheffield United 2-1.

Chelsea menewaskan Leicester 1-0 menerusi gol Ross Barkley untuk menempah pertemuan separuh akhir menentang Manchester United.

Penalti Kevin De Bruyne dan gol Raheem Sterling memastikan City kembali meraih kemenangan selepas tewas 1-2 kepada Chelsea pada perlawanan Liga Perdana Inggeris pada pertengahan minggu, kekalahan yang mengesahkan kejuaraan liga milik Liverpool.

“Dalam Liga Perdana, kami bergelut untuk memberi fokus,” akui Guardiola. “Sekarang dalam pertandingan Piala FA dan Liga Juara-Juara, ia agak berbeza.”

City kelihatan menguasai sepenuhnya separuh masa pertama permainan tetapi ia hanya sehingga Gabriel Jesus dikasari Javier Manquillo dalam kotak penalti lapan minit sebelum rehat yang membolehkan De Bruyne membuka jaringan.

“Kami boleh menjaringkan lebih banyak gol tetapi kami bermain dengan sangat baik dan mencipta cukup peluang untuk menjaringkan banyak gol,” kata De Bruyne.

“Kami tahu ia benar-benar pelik (bermain tanpa penonton), ia bukan sesuatu yang saya sukai tetapi kami adalah profesional dan kami perlu meneruskannya. Kami mahu bangkit dengan segera. Kami berasa gembira kerana melangkah ke separuh akhir sekarang.”

Kekalahan liga yang kelapan City pada pertengahan minggu sekali lagi mendedahkan kerapuhan benteng pertahanan yang perlu diselesaikan jika mahu memberikan trofi pertama Liga Juara-Juara kepada kelab dan juga mempertahankan kejuaraan Piala FA.

Newcastle mempunyai peluang terbaik untuk mengikat kedudukan tetapi rembatan penyudah Dwight Gayle melambung tinggi.

Di Stadium King Power, pengurus Chelsea, Frank Lampard melakukan enam pertukaran dari skuad yang menewaskan City dan hampir menerima padah dengan permulaan hambar pasukannya.

Harvey Barnes, Wilfred Ndidi dan Jonny Evans mensia-siakan peluang buat Leicester ketika Lampard boleh didengar cuba ‘mengangkat semangat’ pemainnya.

Beliau menunjukkan rasa tidak puas hati dengan permainan pasukannya dalam separuh masa pertama apabila memasukkan Barkley, Mateo Kovacic dan Cesar Azpilicueta pada masa rehat.

Chelsea kelihatan lebih bertenaga selepas pertukaran itu dan membuka jaringan pada minit ke-63 dari umpanan Willian.

“Ia satu proses pembelajaran. Saya boleh mengeluarkan lebih ramai lagi pemain. Saya tidak mengeluarkan mereka sesuka hati,” kata Lampard selepas mengeluarkan pemain muda Mason Mount, Reece James dan Billy Gilmour.

“Mereka akan menjadi pemain penting untuk kelab dan mempunyai karier yang hebat. Tetapi jika saya perlu melakukan sesuatu berkaitan permainan, saya akan melakukannya. Mereka harus menerima hakikat ini.”

Di Bramall Lane, Dani Ceballos memastikan Arsenal melangkah ke peringkat separuh akhir ketika Sheffield mengintai peluang mereka.

Nicolas Pepe meletakkan Arsenal di hadapan dengan penalti dalam separuh masa pertama selepas Chris Basham mengasari Alexandre Lacazette.

Sheffield mempunyai dua gol yang tidak dibenarkan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) di antara gol Pepe dan Basham juga mensia-siakan satu peluang terbaik.

Sheffield akhirnya menjaringkan gol sah ketika berbaki tiga minit permainan sebelum penjaga gol Arsenal, Emiliano Martinez beraksi tangkas menepis cubaan Billy Sharp.

Tetapi pada minit pertama masa kecederaan, Arsenal kembali di hadapan apabila Ceballos, pemain pinjaman dari Real Madrid, merembat ke pintu gol dari sudut sukar.

“Ini adalah tempat yang sukar untuk menang. Kami akan kembali ke Wembley. Saya benar-benar gembira dengan sikap dan prestasi pemain,” kata pengurus Arsenal, Mike Arteta.

“Ia satu peluang yang hebat untuk cuba memenangi kejohanan ini dan layak ke pertandingan Eropah.”

Manchester United menempah tempat ke separuh akhir dengan menewaskan Norwich 2-1 pada perlawanan hari Sabtu. – AFP

Advertisement