Anda di sini

Majoriti kaum Cina masih hidup dalam keadaan miskin di Malaysia

Advertisement
CHIN
CHIN

KOTA KINABALU: Hanya sebilangan kecil golongan Cina mencapai kekayaan dan majoritinya masih hidup dalam keadaan miskin.

Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chin Su Phin berkata, kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada media asing yang mengatakan masyarakat Cina dalam negara ini adalah golongan kaya adalah tidak tepat.

"Sebagai seorang warganegara Malaysia berketurunan Cina, kita tahu sektor utama ekonomi negara ini seperti industri minyak dan gas, kewangan, peruncitan, pengeluaran dimonopoli oleh golongan bukan Cina.

"Kekayaan yang dijana dalam kalangan masyarakat Cina diperolehi menerusi kerja keras bergenerasi lamanya tanpa mendapat layanan istimewa daripada kerajaan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, kenyataan seumpamanya mampu mewujudkan salah faham khususnya sentimen perkauman diantara komuniti yang ada.

Katanya, beliau seharusnya menjadi seorang pemimpin yang wajar dijadikan contoh oleh rakyat Malaysia khususnya golongan muda.

"Tidak dinafikan terdapat sebilangan rakyat negara ini melabelkan beliau sebagai rasis," katanya.

Katanya, dalam kenyataan beliau menjelaskan bahawa golongan Cina kaya telah menguasai kawasan bandar utama negara ini tetapi jangan lupa bahawa penggubal dasar dalam bandar-bandar utama berkenaan ialah orang bukan Cina.

"Jangan menggunakan sentimen seumpamanya untuk mewujudkan keadaan yang tidak selesa dalam kalangan masyarakat Melayu, Cina dan India sehingga menjejaskan kesatuan serta keharmonian negara ini.

"Mandat rakyat telah diberikan kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke 14, tetapi watak sebenar beliau dapat dilihat selepas dua tahun memerintah.

"Beliau mengabaikan rakan komponen dalam PH seterusnya membolehkan kesempatan diambil pihak parti lain untuk mengambil alih Putrajaya," katanya.

Katanya, pelbagai polisi kontroversi pernah dilaksanakan ketika pemerintahan beliau. Contohnya empat daripada enam bank perdagangan utama di Malaysia dikawal oleh bumiputera Melayu, 99 peratus Lembaga Pengarah Petronas adalah golongan Melayu, kontraktor Petronas wajib 100 peratus bumiputera dan 95 peratus kontrak dikeluarkan kerajaan harus dianugerahkan kepada golongan Melayu.

"Maklumat seumpamanya sudah diketahui umum tetapi beliau tidak pernah mengulas mengenai isu terbabit.

"Golongan Melayu adalah komuniti terkaya di Malaysia disebabkan mereka mempunyai bekas pemimpin UMNO yang mengawal agensi kerajaan," katanya.