Anda di sini

Lebih 10 rumah terjejas banjir di Kg Sungoi

Advertisement
 Salah sebuah rumah yang terjejas akibat banjir teruk di Kg Sungoi di sini.
TERJEJAS: Salah sebuah rumah yang terjejas akibat banjir teruk di Kg Sungoi di sini.

KOTA MARUDU: Lebih 10 rumah penduduk di Kampung Sungoi termasuk dua daripadanya dihanyutkan banjir teruk yang melanda daerah ini serta sembilan lagi daerah lain baru-baru ini.

Lebih teruk lagi ada dalam kalangan penduduk kampung yang tidak sempat menyelamatkan barangan peribadi serta dokumen penting berikutan banjir berlaku dalam tempoh agak singkat.

Terdapat juga beberapa buah kenderaan termasuk kereta dan motosikal yang tidak sempat diselamatkan ke kawasan lebih tinggi mengalami kerosakan teruk serta dihanyutkan arus banjir yang agak deras.

Menurut salah seorang penduduk kampung, banjir kali ini adalah yang paling teruk melanda perkampungan terbabit sehinggakan ada beberapa rumah jiran yang sudah dibina berabad lamanya mengalami kerosakan teruk disebabkan banjir yang membawa bersama ranting kayu bersaiz agak besar ditambah lagi dengan arus banjir yang deras semasa kejadian.

Katanya, banjir terbabit juga disebabkan oleh pengaliran banjir yang agak terganggu dan dilencongkan ke laluan lain disebabkan laluan sebenar terhalang dengan kepadatan ranting yang terkumpul dari tiang jambatan berdekatan yang sedang dibina.

Oleh itu pihaknya meminta bantuan dari pihak sepatutnya untuk mengatasi masalah ini selain membantu meringankan beban penduduk terutamanya kepada mereka yang terjejas teruk akibat dari bencana alam ini.

Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menggesa ketua-ketua jabatan agar mempercepatkan proses penilaian jumlah kerugian dan keluarga yang terlibat dalam kejadian banjir kilat baru-baru ini.

Beliau berkata, Pejabat Parlimen Kota Marudu akan menyampaikan bantuan kewangan kepada dua buah keluarga yang kehilangan rumah mereka dan 25 buah keluarga yang mana rumah mereka mengalami kerosakan teruk akibat banjir kilat di Kampung Sungoi Laut.

 Maximus semasa melawat Kg Sungoi iaitu salah satu perkampungan terjejas teruk akibat banjir.
LAWAT: Maximus semasa melawat Kg Sungoi iaitu salah satu perkampungan terjejas teruk akibat banjir.

Bercakap lanjut berkenaan kesan bencana terbabit beliau berkata, sejumlah tujuh buah kampung di kawasan Parlimen Kota Marudu terjejas.

"Diantaranya, Kampung Pancur, Kampung Taiwan, Kampung Taginambur, Kampung Pekan Lama, Kampung Marudu Laut Kampung Kandawayon dan Kampung Sungoi Laut.

"Kita juga menggesa Jabatan Kebajikan agar mempercepatkan penghantaran bantuan makanan kepada mangsa-mangsa yang kehilangan rumah dan kerosakan harta benda," katanya.