Anda di sini

JBALB didakwa masih gagal menyelesaikan krisis air

Advertisement
 Penduduk Kampung Punang mahu isu air diselesaikan segera.
BANTAH: Penduduk Kampung Punang mahu isu air diselesaikan segera.

LAWAS: Setelah lebih 15 tahun berdepan krisis air yang tiada penghujungnya, beberapa penduduk Kampung Punang meluahkan kekecewaan terhadap Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) kerana didakwa masih gagal menyelesaikan masalah tersebut sehingga kini.

Kekecewaan itu diluahkan melalui perhimpunan aman yang diadakan kelmarin dengan membawa sepanduk selain mengemukakan bantahan terhadap pengarah JBALB yang menuduh penduduk Kampung Punang dan Awat-Awat sebagai tidak bekerjasama seperti dalam laporan akhbar tempatan yang disiarkan pada 23 Jun lalu.

Wakil penduduk Mohd Raffaeh berkata JBALB perlu berhenti mempolitikkan isu tersebut sebaliknya perlu mengatasi krisis air dengan segera.

“Kami wakil warga Kampung Punang membantah sekeras-kerasnya tuduhan yang dibuat pihak JBALB terhadap kami.

“Sebaliknya kami menagih kerjasama daripada pihak JBALB untuk membekalkan air yang selamat diminum dan bekalan berterusan kepada penduduk selaras dengan kenyataan misi JBALB,” katanya kepada media semalam.

Katanya JBALB sering berjanji akan menyelesaikan masalah air di kampung itu namun sehingga kini mereka gagal menyelesaikan masalah yang membebankan rakyat.

Jelas mereka isu air bersih bukanlah satu keistimewaan tetapi hak mutlak setiap manusia.

Menurut mereka, penduduk kampung telah lama bersabar serta memerhatikan tindak-tanduk JBALB yang memberi pelbagai alasan walaupun kerajaan negeri telah memperuntukan sebanyak RM2.8 billion untuk seluruh negeri.

Perhimpunan kelmarin dihadkan beberapa orang demi menghormati Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pada 23 Jun 2020, pengarah JBALB telah mengeluarkan kenyataan akhbar yang menuduh penduduk Punang dan Awat-Awat tidak bekerjasama dengan agensi itu.

Advertisement