Anda di sini

Jawatan perdana menteri, perkara kedua penting - Abang Johari

Advertisement
Abang Johari (tengah) ketika tiba di tapak Majlis Pecah Tanah Jalan Sungai Maong-Segedup hari ini. - Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi
Abang Johari (tengah) ketika tiba di tapak Majlis Pecah Tanah Jalan Sungai Maong-Segedup hari ini. - Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari berkata isu menangani cabaran dihadapi negara ketika ini lebih penting daripada siapa perdana menteri yang seterusnya.

"Bagi saya isu jawatan perdana menteri perkara kedua penting. Apa yang kita perlukan sekarang ialah kerajaan yang stabil di peringkat Persekutuan.

"Sekarang negara berdepan banyak cabaran. Pandemik COVID-19 belum selesai, kedua, ekonomi kita...Jadi kita memerlukan kepimpinan yang sangat fokus untuk mengurus semua masalah ini," ujarnya ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek Jalan Sungai Maong-Segedup di sini hari ini.

Abang Johari berkata demikian apabila ditanya sama ada nama beliau turut disebut sebagai Perdana Menteri yang baru menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan sebagai Perdana Menteri jika Pakatan Harapan (PH) Plus berkuasa semula manakala presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri I dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir Timbalan Perdana Menteri II.

Abang Johari berkata Muhyiddin harus diberi kepercayaan memimpin negara dan telah berusaha melakukan yang terbaik ketika negara berdepan cabaran sukar ketika ini.

"Tak perlulah kita nak sibuk-sibuk (siapa yang harus menjadi perdana menteri). Beliau (Muhyiddin) sudah ada di sana (dilantik), biarlah beliau lakukan tugasnya," ujarnya.

Terdahulu, dalam ucapannya Abang Johari berkata kerajaan negeri akan memfokus kepada usaha membangunkan Sarawak dengan mengetepikan kepentingan politik termasuk isu jawatan perdana menteri.

"Kita kurangkan berpolitk, sebaliknya mahu memfokus kepada pembangunan Sarawak," katanya.

  • oleh
  • Advertisement