Anda di sini

Inter Milan tundukkan Parma 2-1

Advertisement
 Stefan de Vrij (kiri) meraikan kemenangan selepas menjaringkan  gol pada perlawanan Parma menentang Inter Milan kelmarin di stadium Ennio-Tardini di Parma. — Gambar Bernama
CERIA: Stefan de Vrij (kiri) meraikan kemenangan selepas menjaringkan gol pada perlawanan Parma menentang Inter Milan kelmarin di stadium Ennio-Tardini di Parma. — Gambar Bernama

MILAN, Itali: Alessandro Bastoni melengkapkan kebangkitan Inter Milan, yang menjaringkan dua gol pada enam minit terakhir untuk menewaskan Parma 2-1 pada Ahad sementara Atalanta mencipta kemenangan ketiga berturut-turut sejak Serie A Itali disambung semula.

Gervinho meletakkan Parma di hadapan pada separuh masa pertama perlawanan di Stadio Ennio Tradini tetapi Inter, yang bolos gol penyamaan lewat ketika menentang Sassuolo pada pertengahan minggu, bangkit menerusi gol penyamaan Stefan de Vrij sebelum Bastoni menjaringkan gol kemenangan.

Inter kekal lapan mata di belakang pendahulu liga, Juventus dan empat mata di belakang Lazio di tangga kedua dengan baki 10 perlawanan musim ini.

“Saya fikir ia adalah kemenangan yang selayaknya. Sangat selayaknya bagi kami,” kata penolong jurulatih Inter, Cristian Stellini, dengan jurulatih Antonio Conte terpaksa menonton perlawanan dari tempat duduk penonton selepas digantung satu perlawanan.

Atalanta mengukuhkan kedudukan di tangga keempat liga selepas dua gol cantik Luis Muriel, yang dimasukkan dalam separuh masa kedua, memastikan kemenangan 3-2 di Udinese.

Pemain antarabangsa Colombia itu meletakkan Atalanta kembali di hadapan dengan satu tendangan percuma cantik pada minit ke-71, selepas Kevin Lasagna mengikat kedudukan buat Udinese pada minit ke-31 berikutan dengan gol pembukaan Duvan Zapata.

Muriel kemudian meletakkan Atalanta dengan kelebihan dua gol dari satu rembatan cantik sebelum Udinese merapatkan kedudukan menerusi gol kedua Lasagna tiga minit sebelum tamat permainan.

Pada perlawanan lain, AS Roma berdepan dengan prospek gagal layak ke Liga Juara-Juara sekali lagi selepas tewas 0-2 di AC Milan.

Ante Rebic dan Hakan Calhanoglu menjaringkan gol lewat untuk memastikan kemenangan Milan di San Siro, sekali gus meletakkan skuad kendalian Stefano Pioli itu hanya kurang tiga mata dari slot terakhir kelayakan ke Liga Europa, yang diduduki Napoli yang menewaskan SPAL 3-1 di Naples.

Napoli, yang memenangi Piala Itali musim ini, menjaringkan gol dari Dries Mertens, Jose Callejon dan Amin Younes.

AS Roma kekal di tangga kelima tetapi hanya tiga mata di hadapan Napoli dan sembilan mata di belakang Atalanta yang menduduki slot terakhir kelayakan ke Liga Juara-Juara musim hadapan.

Kedua-dua pasukan bermula hambar tetapi Milan mula menguasai permainan selepas rehat dengan Rebic membuka jaringan pada minit ke-76.

Calhanoglu menyempurnakan penalti ketika berbaki satu minit permainan.

“Kami memburu satu kemenangan ketika menentang lawan yang kuat dan kami selayaknya menang,” kata Pioli selepas kemenangan pertama pasukannya ketika menentang enam pasukan teratas musim ini.

“Kemenangan ini memberikan kami keyakinan untuk cuba membawa Milan kembali ke bola sepak Eropah.”

Jurulatih Roma, Paulo Fonseca, mengakui pasukannya bergelut dengan tahap kecergasan selepas tiga bulan bola sepak terhenti ekoran pandemik koronavirus (COVID-19).

“Mereka (Milan) lebih cergas pada separuh masa kedua,” kata Fonseca. “Jangan lupa, mereka mempunyai persediaan tujuh hari dan juga ia perlawanan ketiga mereka. Ia bukan satu alasan tetapi kebenaran.

“Saya bimbang dengan tahap kecergasan pasukan saya, kami akan bermain lagi dalam masa dua hari.”

Sampdoria semakin menghampiri zon penyingkiran selepas tewas 1-2 kepada Bologna, menyebabkan mereka hanya satu mata di atas zon penyingkiran sementara Sassuolo dan Hellas Verona seri 3-3. — AFP