Anda di sini

Huang mohon kipas di Pasar Sentral Sarikei ditambah

Advertisement
 Huang mengadakan tinjauan di Pasar Sentral Sarikei semalam untuk bertemu dengan para peniaga.
TURUN PADANG: Huang mengadakan tinjauan di Pasar Sentral Sarikei semalam untuk bertemu dengan para peniaga.

SARIKEI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok Dato Sri Huang Tiong Sii akan memohon kepada pihak Majlis Daerah Sarikei (MDS) untuk menambah bilangan kipas di Pasar Sentral Sarikei.

Katanya, penambahan jumlah pemasangan kipas di lokasi tersebut amat penting bagi memastikan para peniaga yang mencari rezeki di pasar berkenaan berada dalam keadaan selesa.

“Kita mahu golongan yang mencari rezeki ini berada di persekitaran perniagaan yang sesuai di samping turut memberikan impak yang positif kepada masyarakat yang turut sama berkunjung ke pasar ini untuk berbelanja dan mencari barang keperluan harian seperti sayur dan hasil pertanian yang lain.

“Berdasarkan maklum balas yang kita terima daripada para peniaga kecil-kecilan yang berniaga di pasar ini, mereka memohon kemudahan kipas sedia ditambah.

“Jesteru, pihak kita telah melakukan tinjau terus ke pasar ini dan mendapati permohonan mereka itu adalah berasas terutama bagi menampung kesesakan pengunjung pasar tersebut, khususnya pada hujung minggu seperti hari Sabtu dan Ahad,” kata Huang ketika ditemui media sewaktu melakukan tinjuan ke pasar tersebut semalam.

Ketibaan Huang bersama rombongannya ke pasar tersebut mendapat respons positif daripada para peniaga dan pengunjung.

Pada masa yang sama, Huang turut menasihati para peniaga di pasar tersebut agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19.

“Langkah kebersihan dan pematuhan SOP ini amat penting diamalkan bagi memastikan semua kita bebas daripada jangkitan COVID-19.

“Oleh itu, kita memohon semua pihak bersama-sama dengan kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) amnya, menjaga kebersihan persekitaran dan diri agar mengurangkan risiko daripada jangkitan COVID-19,” tegas Huang.

Hadir sama dalam tinjauan tersebut ialah Pengerusi Majlis Daerah Sarikei (MDS) Wong Zee Yeng.