Anda di sini

Ekosistem perairan dipelihara

Advertisement
 Abang Johari (tiga kiri) semasa merasmikan Majlis Penanaman Tukun Tiruan di perairan Muara Tebas-Sebuyau,semalam. — Gambar UKAS
PELIHARA SUMBER: Abang Johari (tiga kiri) semasa merasmikan Majlis Penanaman Tukun Tiruan di perairan Muara Tebas-Sebuyau,semalam. — Gambar UKAS

KUCHING: Kerajaan negeri mempertahan dan memelihara ekosistem perairan Sarawak secara agresif dengan memperuntukkan RM70 juta bagi menanam 17,200 unit tukun tiruan di tempat-tempat strategik sepanjang perairan pantai Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata peruntukan berkenaan telah disalurkan kepada Sarawak Forestry Corporation (SFC) bagi melaksanakan projek berkenaan bermula pada 2018 hingga 2021 melibatkan kawasan perairan Sarawak dari Tanjung Datu di bahagian Kuching hingga Lawas.

Beliau berkata, ia merupakan antara sebahagian inisiatf pemuliharaan ekosistem marin di negeri ini.

“Kita (kerajaan negeri) telah memberi kuasa kepada SFC untuk memantau sekitar kawasan tesebut dan SFC telah menanam 600 unit tukun tiruan di perairan Belawai-Paloh, 600 lagi di perairan Lawas dan 1,200 lagi di sepanjang 60km perairan Igan-Mukah.

“Hari ini kita telah melancarkan 1,200 unit (tukun tiruan) lagi di sepanjang perairan pantai Muara Tebas-Sebuyau,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penanaman Tukun Tiruan di perairan Muara Tebas-Sebuyau dekat sini, semalam.

Abang Johari berkata, projek berkenaan akan memberi faedah secara langsung kepada nelayan di kawasan berkenaan.

Ini kerana menurutnya, turun tiruan bukan sahaja mewujudkan habitat untuk ikan malah melindungi habitat hidupan marin lain daripada ancaman amalan perikanan yang memudaratkan ekosistem perikanan dan pesisiran seperti aktiviti pukat tunda haram.

“Terdapat banyak aktiviti penangkapan ikan secara haram di kawasan ini. Oleh itu, apabila adanya tukun tiruan ini, ia akan mengurangkan aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairan kita.

“Ini akan melindungi nelayan-nelayan pantai kita. Berdasarkan data, hasil tangkapan dan pendapatan nelayan kita bertambah selepas penanaman tukun tiruan ini,” ujarnya.

Abang Johari berkata, projek berkenaan tidak hanya memberi impak kepada pendapatan nelayan malah melindungi hidupan liar marin terancam seperti penyu serta memulih dan menambah terumbu karang di perairan Sarawak.

“Saya difahamkan selepas kita menanam tukun tiruan ini, penyu terutamanya green turtle kembali ke taman negara kita seperti Taman Negara Similajau, Bintulu selepas tujuh tahun tidak ada pendaratan.

“Terumbu karang semula jadi di kawasan perairan yang ditanam tukun tiruan juga telah tumbuh 10-12 sentimeter (sm) dalam masa dua tahun. Dalam tempoh tiga tahun ia boleh membesar 20-40sm.

“Ini sudah tentu dapat membantu kita memulihara ekosistem di kawasan perairan Sarawak.

“Saya percaya jika usaha ini diterus dan dipertingkatkan, perairan kita akan menjadi destinasi pelancongan suatu hari kelak,” katanya.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Datu Len Talif Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif SFC Zolkipli Mohamad Aton.

  • oleh
  • Advertisement