Anda di sini

Dua lelaki dicekup pecah masuk rumah burung walet

Advertisement
 

KUCHING: Dua lelaki diberkas apabila disyaki terlibat kes pecah masuk dan curi di rumah burung walet di Jalan Bako, di sini, awal pagi Ahad.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintenden Merbin Lisa (gambar) berkata, kejadian tersebut disedari pemilik rumah burung walet berkenaan selepas memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada jam 5.15 pagi di rumahnya.

Menurutnya, mangsa kemudian terus ke lokasi kejadian dan turut menghubungi polis untuk bantuan.

"Dengan tindakan pantas daripada polis MPV (unit kereta peronda) dibantu mangsa, seorang suspek lelaki tempatan berusia 20an berjaya diberkas manakala rakannya berjaya melarikan diri. 

"Barangan yang dirampas daripada suspek ialah sekilogram sarang burung walet, seutas jam tangan, tali, pisau poket, lampu suluh, pemutar skru, besi panjang, dan pemotong wayar," katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Barang yang dirampas daripada suspek.

Katanya, motosikal yang dinaiki kedua-dua suspek turut disita dan didapati milik ahli keluarga suspek.

"Semakan rekod suspek mempunyai tiga rekod lampau iaitu satu rekod jenayah curi dan dua narkotik iaitu positif bahan terlarang," katanya.

Tambahnya, suspek kemudian dirujuk ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan kerana mengalami kecederaan akibat terjun daripada bangunan rumah burung tersebut sebaik menyedari kehadiran polis.

Sementara itu, hasil daripada maklumat dan risikan membawa kepada penangkapan seorang lagi suspek yang turut dipercayai terlibat kes pecah masuk tersebut pada pagi Isnin.

"Tangkapan suspek berusia sekitar 30an itu dibuat di sebuah rumah tidak bernombor di kawasan Bako, Kuching," katanya.

Kedua-dua suspek yang turut disahkan positif dadah jenis Methamphetamine kini ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun atau denda dan sebat.

"Justeru, kita mohon agar masyarakat terus laporkan kepada kita mengenai sebarang kegiatan jenayah agar tindakan segera dapat diambil," ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement