Anda di sini

Dapatkan nasihat MPT sebelum bina penempatan di kampung

Advertisement
 Nizam menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di lorong Haji Sundu Batu 2 Jalan Apas.
SUMBANGAN: Nizam menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di lorong Haji Sundu Batu 2 Jalan Apas.

TAWAU: Rakyat di daerah ini diminta mendapatkan nasihat pihak Majlis Perbandaran Tawau (MPT) sebelum membina sesebuah penempatan terutamanya di kawasan kampung supaya lebih selamat untuk didiami.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, membina rumah secara teratur dan tidak rapat-rapat dapat mengurangkan risiko kebakaran yang lebih besar berlaku.

"Saya mengingatkan rakyat yang ingin mendirikan rumah terutamanya di sebuah perkampungan perlu mendapatkan nasihat daripada pihak MPT dan bomba berhubung peraturan yang betul.

"Pembinaannya perlu dilakukan secara teratur dan ini dapat mengurangkan jumlah rumah yang musnah dalam kebakaran sekiranya berlaku musibah di sesebuah perkampungan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof menyampaikan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada 40 mangsa kebakaran di lorong Haji Sundu Batu 2 Jalan Apas, di sini.

Nizam berkata, selama 12 hari selepas musibah kebakaran itu berlaku beliau sudah tiga kali bersama mangsa secara dekat termasuk hari ini (semalam).

"Saya rasa sangat bertanggungjawab dan bersimpati terhadap semua mangsa yang terlibat, lebih-lebih lagi musibah ini berlaku di kawasan serta pengundi yang mengundi saya semasa Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

"Sebagai pimpinan di kawasan DUN Apas, saya akan cuba sedaya mungkin membantu rakyat di sini supaya mereka terbela sekiranya ditimpa musibah," katanya.

Mengulas mengenai sumbangan ini, beliau berkata, Datuk Seri Mohd Redzuan yang sebelum ini melawat mangsa telah berjanji untuk memberikan sumbangan susulan.

"Hari ini beliau sudah tunaikan janjinya selepas kelmarin beliau mengirim wang tunai sebanyak RM20,000 kepada saya untuk disumbangkan kepada semua mangsa di sini.

"Pemimpin negara di bawah pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassin memang sangat prihatin terhadap rakyatnya yang ditimpa musibah dan sudah terbukti banyak bantuan yang disalurkan sejak negara dilanda wabak COVID-19 lagi," katanya.

Beliau berharap semua pemimpin di peringkat Persekutuan dan negeri supaya mencari kaedah untuk membina lebih banyak perumahan rakyat yang boleh diberikan atau disewa secara murah kepada rakyat seperti Program Perumahan Rakyat (PPR).

"Saya berharap rumah PPR dapat dibina lebih banyak lagi supaya rakyat yang tidak mempunyai rumah boleh mendapatkannya dan menikmati kediaman yang lebih baik," katanya.