Anda di sini

COVID-19: Brazil catat minggu terburuk

Advertisement
 Profesional kesihatan membantu pesakit dengan simptom COVID-19 naik ke daratan setelah bot ambulans tiba dari komuniti Vila Amazonia di Parintins, negeri Amazonas kelmarin. Parintins terkenal di seluruh dunia dengan festival dongeng rakyat Boi-Bumba yang berlangsung selama tiga hari pada lewat Jun dengan tema, kostum dan lagu berdasarkan budaya peribumi di hutan hujan Amazon. Disebabkan penularan COVID-19, festival tahun ini distrim secara langsung. — Gambar AFP
MASIH TENAT: Profesional kesihatan membantu pesakit dengan simptom COVID-19 naik ke daratan setelah bot ambulans tiba dari komuniti Vila Amazonia di Parintins, negeri Amazonas kelmarin. Parintins terkenal di seluruh dunia dengan festival dongeng rakyat Boi-Bumba yang berlangsung selama tiga hari pada lewat Jun dengan tema, kostum dan lagu berdasarkan budaya peribumi di hutan hujan Amazon. Disebabkan penularan COVID-19, festival tahun ini distrim secara langsung. — Gambar AFP

RIO DE JANEIRO: Brazil mencatat minggu terburuknya bagi pandemik koronavirus COVID-19 dalam bentuk kes baharu, menyenaraikan 259,105 jangkitan dalam masa tujuh hari setakat kelmarin, menurut statistik daripada Kementerian Kesihatan.

Negara itu turut melaporkan angka kematian mingguan kedua tertinggi, dengan 7,005 orang terkorban, di mana minggu sebelumnya mencatatkan 7,285 kematian.

Negara dengan jumlah kedua tertinggi jangkitan dan kematian akibat COVID-19 di seluruh dunia selepas Amerika Syarikat (AS) itu telah berusaha untuk merangka strategi bagi menangani pandemik tersebut.

Jumlah menakutkan terbaharu muncul ketika penunjuk perasaan di beberapa bandar sehingga ke luar negara seperti Stockholm, London dan Barcelona mengadakan kecaman dan bantahan terhadap Presiden Brazil Jair Bolsonaro serta cara pengurusan beliau terhadap krisis kesihatan itu.

Presiden haluan kanan itu telah meremehkan koronavirus baharu sebagai sekadar selesema ringan, membantah sepenuhnya langkah duduk di rumah yang diumumkan pihak berkuasa negeri serta melanggar secara umum garis panduan penjarakan sosial dan keperluan bagi pemakaian pelitup muka yang dilaksanakan di ibu negara Brasilia.

Di pantai Copacabana di Rio de Janeiro, anggota polis tentera memegang perisai rusuhan menggunakan belantan bagi menghalang orang ramai yang membantah di bawah slogan ‘Hentikan Bolsonaro’ dan menentang rasisme.

Reaksi kasar polis terhadap kira-kira 200 orang yang berhimpun itu menarik semakin ramai orang memberontak dari tingkap pangsapuri masing-masing yang menjerit ‘Keluar, Bolsonaro!’

Di Brasilia, para penunjuk perasaan meletakkan 1,000 salib di atas laman hadapan Kongres bagi memberikan penghormatan kepada mangsa COVID-19, dengan satu kain rentang bertulis ‘Bolsonaro, berhentilah menafikan!”

“Brazil sedang mengalami kesakitan yang mendalam, penderitaan yang tersembunyi di mana debaran ketika berdepan dengan jumlah kematian yang sangat besar berpunca daripada COVID-19,” menurut pihak penganjur dalam satu kenyataan.

Pihak pakar menyatakan angka sebenar jangkitan dan kematian di Brazil kemungkinan jauh lebih tinggi berbanding statistik rasmi.

Kementerian Kesihatan pada minggu ini memulakan saringan terhadap semua kes koronavirus yang disyaki dalam sistem kesihatan awam, namun kekurangan saringan masih menjadi satu masalah di negara yang mempunyai 212 juta penduduk itu.

Walaupun penyebaran penyakit belum terkawal, beberapa pihak berkuasa tempatan mendesak dengan usaha untuk membuka semula ekonomi.

Rio, bandar kedua paling teruk terjejas selepas Sao Paulo, sebagai contoh telah membenarkan kedai-kedai dibuka semula dan perlawanan bola sepak diteruskan, malah merancang untuk membenarkan peminat kembali semula ke stadium bermula 10 Julai ini. Sementara itu di WASHINGTON, AS menambah 288 kematian akibat COVID-19 dalam masa 24 jam, menurut statistik terbaharu Universiti Johns Hopkins kelmarin, dengan kadar jangkitan kekal tinggi ketika negara itu berusaha untuk mengawal peningkatan baharu penyakit tersebut.

Ekonomi terbesar di dunia itu adalah negara paling teruk terjejas pandemik tersebut, dengan 125,768 kematian daripada lebih 2.5 juta kes, menurut institusi yang berpusat di Baltimore itu pada jam 8.30 malam waktu tempatan.

Bar-bar di Los Angeles dan enam daerah lain di California telah diarahkan untuk ditutup semula kelmarin sebagai sebahagian langkah yang dilaksanakan semula di wilayah itu bagi cuba mengekang peningkatan mendadak baru-baru ini dalam kes koronavirus. — AFP

Advertisement