Anda di sini

10 lelaki didenda kerana merusuh di tempat awam

Advertisement
 

KUCHING: Seramai 10 lelaki masing-masing didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas kesalahan merusuh di tempat awam pada 21 Jun lalu. 

Phong Biing Lin, Vong Soon Teck, Andy Tay Kay Poh, Wong Kuat Jie, Phiong Foo Yaw, Liew Kian Yiap, Phiong Wan Poh, Alvin Chew Kiok Seng, Lee Kok Leong dan Kelvin Lai Chi Yong masing-masing mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Mohd Syukri Mokhtar.

Mahkamah juga menetapkan mereka dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Kesemua tertuduh yang berusia antara 20an hingga 30an itu membayar denda tersebut. 

Mengikut pertuduhan, mereka telah melakukan rusuhan sehingga menyebabkan kecederaan terhadap beberapa individu lain dan melakukan kerosakan harta benda semasa berada di sebuah bistro di Jalan Stutong Baru, jam 12.30 tengah malam pada 21 Jun lalu.

Berdasarkan fakta kes, seorang daripada orang awam yang juga merupakan pengadu dalam kes ini melaporkan yang dia baru sampai di hadapan bistro tersebut bersama enam orang rakannya untuk duduk santai dan melepak. 

Namun, sejumlah 10 lelaki lain yang merupakan tertuduh dalam kes ini tiba-tiba memarahi pengadu dan rakan-rakannya, serta bertindak melempar kerusi dan memukul mereka. 

Pengadu dan rakan-rakannya tidak mengetahui mengenai punca kejadian dan mereka sempat melarikan diri. 

Akibat kejadian itu, pengadu mengalami kecederaan di kepala sebelah kiri dan menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak. 

Justeru, kesemua tertuduh didakwa dan disabitkan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement