Anda di sini

Singapura catat 202 kes baharu, enam dalam komuniti 

Advertisement
 
Jumlah jangkitan di Singapura ialah 43,661 kes, dengan kes pertama dikesan pada 23 Januari. - Gambar fail AFP

SINGAPURA: Singapura, yang kini memasuki minggu kedua pembukaan semula Fasa Kedua hari ini mengesahkan 202 kes baharu jangkitan COVID-19 dengan enam kes melibatkan dalam komuniti.

Sejak pembukaan semula Fasa Kedua pada 19 Jun, Singapura mencatatkan tidak lebih daripada 300 kes baharu setiap hari.

Dalam data tengah hari secara ringkas yang disiarkan hari ini, Kementerian Kesihatan (MOH) memaklumkan daripada enam kes itu, empat adalah rakyat Singapura atau penduduk tetap dan dua lagi pemegang pas pekerja manakala selebihnya pekerja asing yang ditempatkan di asrama.

Ini menjadikan jumlah jangkitan di republik ini 43,661 kes, dengan kes pertama dikesan pada 23 Januari.

Dalam data lengkap yang disiarkan lewat Ahad, Singapura mengklasifikasi 1,868 kes dikaitkan dengan komuniti, 581 kes import dan 41,010 melibatkan pekerja asing di asrama.

Setakat tengah hari semalam, 37,508 atau kira-kira 87 peratus daripada jumlah pesakit telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar dari hospital atau fasiliti penjagaan komuniti.

Terdapat 184 kes disahkan yang masih berada di hospital pada Ahad dengan satu di unit rawatan rapi, demikian menurut kementerian itu.

Menurut kenyataan itu lagi, 5,741 pesakit yang mempunyai simptom sederhana atau secara klinikal adalah sihat tetapi ujian masih menunjukkan positif COVID-19 telah ditempatkan dan dirawat di fasiliti komuniti.

Setakad ini, 26 orang telah meninggal dunia di negara ini berikutan komplikasi jangkitan COVID-19 dengan dua kes pertama dilaporkan pada 21 Mac.

Memandangkan tiada lagi kes dikaitkan dengan asrama di 15A Senoko Way dan 65 & 67 Tuas View Walk 2 sejak dua tempoh inkubasi yang lepas, kluster berkenaan kini telah ditutup.

Hanya satu kluster dikenal pasti pada Ahad iaitu asrama di 5 Kaki Bukit Industrial Terrace. - Bernama

Advertisement