Anda di sini

Pelan mitigasi banjir perlu segera dilaksanakan

Advertisement
 Shafie bertanya khabar keadaan salah seorang mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara.
PRIHATIN: Shafie bertanya khabar keadaan salah seorang mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara.

KOTA BELUD: Pelan mitigasi banjir perlu dilaksanakan dalam masa terdekat bagi menangani masalah banjir yang sering melanda daerah ini terutama musim hujan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, pelan berkenaan membabitkan kerja mendalamkan serta meluaskan kawasan sungai bagi melancarkan aliran air.

Katanya, kerja-kerja penyelenggaraan longkang dan parit juga perlu dibuat dengan lebih efisien untuk mengelak tersumbat sekaligus mengurangkan risiko banjir.

"Saya difahamkan, kerajaan Pusat ada menyediakan peruntukan berjumlah RM50 juta dua tahun lepas, tapi malangnya duit itu digunakan untuk buat kajian.

"Tetapi kajian itu tidak perlu lagi dilaksanakan memandangkan kita sudah tahu apa punca kejadian banjir di Kota Belud ini termasuklah disebabkan oleh air sungai yang cetek," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau keadaan banjir di sekitar kawasan daerah ini dan melawat penduduk kampung yang terjejas banjir di sini petang tadi.

Shafie berkata, selain Kota Belud, sembilan lagi daerah di Sabah yang dilanda banjir iaitu Tuaran, Putatan, Penampang, Papar, Beaufort, Keningau, Tenom, Kota Marudu, dan Pitas.

Setakat ini katanya, sejumlah 32 kampung terjejas banjir di Kota Belud membabitkan seramai 318 mangsa.

Semalam beliau berkesempatan meninjau keadaan banjir di Penampang yang turut menjejaskan beberapa kawasan perkampungan dan pekan Donggongon.

  • oleh
  • Advertisement