Anda di sini

Murid-murid berkampung dalam hutan untuk dapat capaian internet dapat perhatian 

Advertisement
Pelajar di pedalaman Lubok Antu sanggup berkampung di dalam hutan berbukit berdekatan kampung mereka semata-mata mendapat capaian internet untuk mengulang kaji dan menyiapkan kerja sekolah dalam talian.
Pelajar di pedalaman Lubok Antu sanggup berkampung di dalam hutan berbukit berhampiran kampung mereka semata-mata mendapat capaian internet untuk mengulang kaji dan menyiapkan kerja sekolah dalam talian.


KUCHING: Kesungguhan murid-murid beberapa sekolah rendah di pedalaman Lubok Antu yang sanggup berkampung di dalam hutan berbukit untuk mendapat capaian internet bagi menyiapkan kerja sekolah dalam talian mendapat perhatian Ahli Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang.

Beliau berkata beberapa pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Uyau, SK Nanga Kesit dan SK Ulu Lemanak sanggup berkampung di dalam hutan berdekatan untuk mengikuti dan mengulang kaji pelajaran dalam talian.

"Kita sebenarnya sangat berbangga dengan semangat anak-anak ini, 'agi idup agi ngelaban' dan inisiatif mereka yang sanggup berkampung di hutan semata-mata tidak mahu ketinggalan dalam pelajaran semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekarang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Kita telah mempertimbangkan dana peruntukan bagi membina tempat yang lebih selesa dan selamat untuk murid-murid ini supaya mereka dapat meneruskan pembelajaran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Capaian internet di kebanyakan kawasan di Parlimen Lubok Antu lemah menyebabkan murid-murid terpaksa 'berkampung' di hutan berbukit untuk mengikuti pelajaran dalam talian.

Jugah berkata sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam talian tidak dapat dilaksanakan di kebanyakan kawasan di Parlimen Lubok Antu disebabkan capaian internet di situ lemah ditambah keadaan keluarga yang kurang mampu menyediakan gajet elektronik untuk anak-anak.

"Keterbatasan dan kekangan wujud kerana tidak semua murid serta keluarga mereka mempunyai akses internet dan gaget elektronik seperti telefon pintar. Inilah halangan terbesar untuk merealisasikan kaedah PdP dalam talian.

"Dengan liputan internet tidak dapat dicapai sepenuhnya dan taburan infrastruktur luar bandar tidak teratur memberi masalah kepada sistem PdP dalam talian dilaksanakan," ujarnya.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga digesa ke lokasi-lokasi tersebut bagi melihat sendiri keadaan capaian internet dan seterusnya mempertimbang membina menara-menara telekomunikasi serta memperkasakan liputan internet di Parlimen Lubok Antu, tambahnya.

Beliau berkata dengan adanya menara-menara telekomunikasi berkenaan ia akan menganjak Lubok Antu selangkah ke hadapan, khususnya dalam ekonomi digital serta pertanian moden.

Menurut Jugah masih banyak sekolah di pedalaman Lubok Antu tidak dapat dihubungkan dengan perkhidmatan telefon apatah lagi internet.

Keadaan sama dialami di kawasan pedalaman seperti di Bilalarap, Bawie, Ulu Lemanak, Ili Lemanak, dan Nanga Tutong.

Menurutnya, selain berdepan masalah capaian internet lemah, anak-anak di pedalaman bersekolah di sekolah yang daif serta kekurangan prasarana pendidikan.

  • oleh
  • Advertisement