Anda di sini

Lelaki tidak waras bebas tuduhan kes bunuh, penggal dan bakar di Roban

Advertisement
Tertuduh mendengar penjelasan daripada peguamnya mengenai keputusan hakim hari ini.
Tertuduh mendengar penjelasan daripada peguamnya mengenai keputusan hakim hari ini.

KUCHING: Seorang lelaki yang didakwa dalam kes bunuh, penggal dan bakar di Roban, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan membunuh selepas Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mendapati lelaki berkenaan tidak waras semasa melakukan perbuatan itu.

Hakim Supang Lian memerintahkan Bandang Langu, 60, dihantar untuk menjalani rawatan pemulihan mental di Hospital Sentosa di sini, selain membuat keputusan untuk merujuk kes tersebut kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak bagi arahan lanjut. 

"Berdasarkan pemerhatian, tertuduh tidak sedar dan tidak dapat membuat penilaian bahawa perbuatan tersebut adalah salah.

“Justeru, tertuduh perlu dibebaskan mengikut Seksyen 347 Kanun Prosedur Jenayah disebabkan ketidakwarasannya. 

“Tertuduh juga diarahkan untuk ditahan di Hospital Sentosa di sini mengikut Seksyen 348 Kanun Prosedur Jenayah bagi menjalani rawatan pemulihan mental selain mengelakkannya daripada mendatangkan bahaya kepada orang lain,” ujar beliau semasa memberikan keputusan. 

Tertuduh didakwa membunuh Gelingi Ngaing, 76, di Bilik No.5, Rumah Lumpoh, kira-kira jam 2 petang menggunakan sebilah parang yang berukuran lebih kurang dua kaki pada 25 Julai 2018.

Berdasarkan fakta kes, pada jam lebih kurang 2 petang, mangsa sedang menonton televisyen di ruang tamu dengan pintu rumah tertutup.

Tertuduh yang membawa sebilah parang tiba-tiba menolak pintu rumah tersebut dengan kuat.

Dia seterusnya meluru ke arah mangsa tanpa berkata apa-apa dan terus melibaskan parang tersebut ke arahnya.

Parang tersebut terkena leher mangsa dan menyebabkannya terus rebah ke lantai.

Tertuduh kemudian keluar dari tempat kejadian dan ditemui berdiri di sebelah motosikal yang sedang terbakar di simpang jalan masuk ke rumah panjang tersebut.

Dia kemudiannya telah menyerah diri kepada polis setelah dipujuk.

Pada 21 Mac tahun lau, pertuduhan terhadap tertuduh yang berasal dari Bratong Baru, Roban itu dibaca di hadapan Hakim Supang Lian. 

Bagaimanapun, tiada pengakuan dicatatkan pada ketika itu dan tertuduh juga memohon untuk diwakili peguam pada perbicaraan seterusnya. 

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ronnie Entili manakala tertuduh diwakili peguam, Abdul Rahman Mohd Hazmi dan Christopher Bada. 

  • oleh
  • Advertisement