Anda di sini

Empat lelaki didakwa laku musnah di Rumah Putih

Advertisement
 Gambar fail 23 Jun menunjukkan patung Jackson diperiksa selepas penunjuk perasaan cuba menumbangkannya di Taman Lafayette, Washington DC.  — Gambar AFP
DIDAKWA: Gambar fail 23 Jun menunjukkan patung Jackson diperiksa selepas penunjuk perasaan cuba menumbangkannya di Taman Lafayette, Washington DC. — Gambar AFP

WASHINGTON: Empat lelaki didakwa kerana cuba mengalihkan sebuah patung bekas presiden Andrew Jackson dari luar Rumah Putih sebagai sebahagian daripada protes antiperkauman di Amerika Syarikat (AS), kata pihak berkuasa kelmarin.

Presiden Donald Trump, yang cuba menguar-uarkan dirinya sebagai pembawa panji bagi undang-undang dan ketenteraman tidak sampai lima bulan menjelang pilihan raya presiden pada November, turut menciap seruan polis kelmarin untuk mengenal pasti lebih 12 penunjuk perasaan lain yang mengambil bahagian dalam tindakan itu.

Pada petang Isnin, sekumpulan penunjuk perasaan cuba menumbangkan patung bekas presiden Johnson, pembela perhambaan yang memimpin AS dari 1865 hingga 1869, yang didirikan di Taman Lafayette bersebelahan Rumah Putih.

Mereka mengikat tugu itu dengan tali dan cuba menjatuhkannya.

Berdasarkan rakaman video di tempat kejadian, empat dikenal pasti mengikat atau menarik tali, atau memberi tukul kepada seorang lagi penunjuk perasaan.

Berusia di antara 20 hingga 47 tahun, mereka didakwa pada Jumata lepas atas tuduhan melakukan kemusnahan ke atas harta benda persekutuan, satu dakwaan yang boleh dikenakan hukuman penjara antara setahun sehingga 10 tahun.

“Salah seorang daripada mereka ditangkap pada Jumaat dan dikemukakan kepada seorang hakim pada Sabtu, manakala tiga lagi dinamakan tetapi belum lagi ditahan,” pejabat pendakwa Washington menyebut dalam satu kenyataan.

“Dakwaan ini harus bertindak sebagai amaran kepada mereka yang memilih untuk mencemari patung dan tugu yang menghiasi ibu negara kita kelakuan ganas dan tingkah laku jenayah anda tidak akan dibiarkan,” tulis Pemangku Peguam AS Michael R. Sherwin.

Sejak kematian George Floyd, seorang warga Afrika-Amerika yang dibunuh anggota polis putih pada 25 Mei lalu, rakyat AS telah berdepan dengan penentuan kritikal mengenai masalah rasisme di negara itu.

Kematian Floyd mencetuskan rusuhan besar-besaran di seluruh negara dan dalam kejadian sampingan kepada protes tersebut, beberapa patung termasuk patung jeneral Konfederat dan pemimpin pro-perhambaan, telah disasari dan ditumbangkan.

Trump, yang bertanding untuk penggal kedua, pada Jumaat lepas menandatangani perintah eksekutif yang berikrar untuk melaksanakan pendakwaan ke atas penunjuk perasaan yang merosakkan tugu peringatan awam.

“Presiden tidak akan membiarkan keganasan untuk menguasai jalan raya kita, menulis semula sejarah kita, atau memudaratkan cara hidup Amerika,” kata Rumah Putih ketika itu. — AFP

Advertisement