Anda di sini

APM Tawau sudah bersedia hadapi bencana banjir

Advertisement
HUSSAIN
HUSSAIN

TAWAU: Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tawau sudah membuat persediaan yang rapi dalam operasi menghadapi bencana banjir di daerah ini.

Pegawai APM Tawau merangkap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kapten Hussain Mohd Noor berkata, seramai empat pegawai dan 22 anggota lain-lain pangkat APM sudah bersedia dalam operasi itu.

"Kami sudah menerima arahan supaya bersedia pada bila-bila masa sahaja sekiranya berlaku bencana banjir, malah semua cuti anggota dibekukan setakat ini.

"Pihak APM sudah menyediakan beberapa logistik menyelamat termasuk lima buah bot, dua kenderaan pacuan empat roda, sebuah kenderaan penyelamat RQ, lori pengangkut dan dua MRV ambulan," katanya ketika dihubungi Utusan Borneo.

Beliau berkata, APM Tawau mempunyai beberapa kawasan jajahan dan tanggungjawab penyelamatan iaitu dari daerah Tawau sehingga Kalabakan.

"Kawasan yang menjadi tumpuan berlaku banjir termasuklah Kampung (Kg) Batu 2 Tali Air Jalan Apas, Kg Wakuba Apas Parit, Kg Rawa-rawa Batu 4, Kg Pasir Putih, Kg Serudung Batu 22, Jalan Bukit Queen Batu 15, Kg Kijang Merotai dan Kg Iban Merotai," katanya.

Menurutnya, selain operasi menyelamat, APM juga menyediakan tempat berlindung iaitu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekiranya penduduk terjejas akibat bencana banjir.

"APM dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyediakan makanan bermasak untuk mangsa banjir semasa di PPS.

"Bilik gerakan APM beroperasi 24 jam dan kami memohon orang awam yang mengetahui berlakunya bencana banjir supaya menghubungi Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) di talian 089-749046," katanya.