Anda di sini

380 KIR terjejas banjir terima bantuan

Advertisement
 Isquzawan dan Ali Hussin menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penduduk di Kampung Tebongon.
SAMPAIKAN: Isquzawan dan Ali Hussin menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penduduk di Kampung Tebongon.

PUTATAN : Seramai 380 ketua isi rumah (KIR) dalam Parlimen Putatan yang terjejas akibat banjir teruk yang melanda daerah itu pada Ahad lepas semalam menerima sumbangan berupa barang keperluan harian.

Sumbangan tersebut disumbangkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Putatan serta Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU Bahagian Putatan termasuk Srikandi BERSATU Bahagian Putatan.

Ketua Armada BERSATU Bahagian Putatan, Mohd Isquzawan Israq Arsit ketika ditemui pemberita berkata bantuan yang disampaikan itu bertujuan meringankan sedikit beban yang ditanggung mangsa-mangsa banjir.

"Saya harap bantuan yang kita sampaikan hari ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka. Kita faham, banjir baru sahaja reda dan ramai di antara mereka perlu membersihkan rumah masing-masing.

"Dalam situasi begini, kita bertindak pantas bersama ahli-ahli BERSATU bahagian serta sayap-sayap parti termasuk pemimpin masyarakat, mengagihkan bantuan keperluan kepada KIR bagi meringankan beban mereka atas musibah ini, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada kira-kira 139 KIR di Kampung Tebongon dekat sini petang Isnin.

Turut hadir Timbalan Ketuan Bahagian BERSATU Putatan, Ali Hussin Shahri.

Dalam perkembangan berkaitan, Isquzawan turut meminta masyarakat supaya mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya hujan turun berterusan terutama penduduk kampung yang tinggal berhampiran sungai atau kawasan rendah.

Beliau turut berpesan supaya masyarakat yang tinggal di kawasan berisiko banjir agar sentiasa mematuhi sebarang arahan daripada kerajaan demi keselamatan semua pihak.

Justeru Isquzawan harap semua masyarakat dapat memberikan kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa dan pengurusan bencana bagi melancarkan serta memudahkan sebarang operasi pemindahan.