Anda di sini

Live Nation adakan siri konsert pandu lalu pertama Julai ini

Advertisement
DARIUS RUCKER
DARIUS RUCKER

PROMOTER konsert besar Live Nation baru-baru ini mengumumkan siri konsert musim panas pandu lalu pertamanya akan datang selepas beberapa bulan yang menyaksikan pembatalan acara disebabkan oleh pandemik koronavirus.

Dua artis country Brad Paisley dan Darius Rucker adalah antara artis-artis yang akan menerajui persembahan bersama penyanyi rap Nelly, yang akan mempersembahkan sambutan ulang tahun ke-20 bagi albumnya yang hit ‘Country Grammar’.

Konsert hujung minggu itu akan menyaksikan persembahan di kota-kota St Louis, Nashville dan Indianapolis dan sekitarnya.

Live Nation berkata hadirin dibenarkan untuk membawa kerusi, makanan dan minuman mereka sendiri untuk dinikmati dari tempat letak kereta yang disediakan di depan pentas.

Semua automobil mesti diletakkan di dalam ruang yang ditetapkan untuk memastikan penjarakan sosial di antara penonton konsert, kata syarikat muzik itu.

“Di seluruh dunia, kita sedang menyaksikan keinginan yang tulen daripada artis dan peminat kita untuk kembali dengan selamat kepada pengalaman konsert,” kata Tom Lee, ketua venue dan konsert AS dalam Live Nation, dalam satu kenyataan bagi mengumumkan konsert berkenaan.

Dia menyifatkan konsert pada Julai sebagai “siri konsert luar yang unik sama sekali dan akan membolehkan peminat untuk menikmati konsert secara langsung sekali lagi, dan pada waktu yang sama mengamalkan jarak sosial”.

Maksimum empat tiket akan disediakan bagi setiap kereta untuk memastikan acara berada pada kapasiti terhad.

Kapasiti adalah antara 600 hingga 1,000 buah kereta, bergantung kepada bandar raya yang terbabit, kata seorang wakil Live Nation kepada AFP.

“Saya rindu sangat mahu bermain muzik! Masa untuk mengubah keadaan itu. Teruja untuk naik ke atas pentas,” ciap Rucker, seorang artis solo dan vokalis utama dan gitaris ‘rhythm’ kumpulan rock era 1990an Hootie & the Blowfish, yang dijadual membuat persembahan di Nashville.

Pandemik koronavirus memaksa industri hiburan mencari jalan untuk mengadakan konsert secara langsung selepas jutaan manusia di seluruh dunia diarah duduk di rumah.

Kebanyakan acara secara langsung ditunda atau dibatalkan sekurang-kurangnya sehingga pertengahan musim panas manakala festival konsert termasuk acara gergasi Coachella dibatalkan dalam usaha untuk menyekat penularan COVID-19.

Billboard menganggarkan industri hiburan boleh kerugian AS$10 bilion hingga AS$12 bilion, manakala ribuan pekerja venue, kru muzik dan pekerja lain diberi cuti tanpa gaji atau menganggur. — AFP