Anda di sini

Sektor pelancongan negara kerugian RM45 bilion akibat COVID-19

Advertisement
Nancy pada Sesi Libat Urus bersama Penggiat Industri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak.
Nancy pada Sesi Libat Urus bersama Penggiat Industri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak.

KUCHING: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menganggarkan industri pelancongan dan kebudayaan negara mengalami kerugian sekitar RM45 bilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini akibat pandemik COVID-19.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata pelancongan antara sektor yang paling teruk terjejas dan dijangka paling lambat untuk pulih.

“Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bagi April 2020, volum penggajian menguncup sebanyak satu peratus kepada 14.93 juta orang berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Antara yang paling teruk terjejas ialah tenaga kerja dalam sektor perkhidmatan seperti penginapan, makanan dan minuman, seni, hiburan dan rekreasi,” katanya pada pertemuan dengan pemain industri, di sini hari ini.

Nancy berkata bagi membantu sektor itu bangkit semula, pihaknya menerusi Tourism Malaysia akan memperkukuh inisiatif di bawah pelancongan domestik melalui kempen Cuti-cuti Malaysia dan memperhebat aktiviti promosi selain bekerjasama dengan syarikat korporat dan pempengaruh.

“Kami juga akan meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan pelancongan dengan mengguna pakai normal baharu untuk melonjakkan keyakinan pelawat, sekali gus menggalakkan mereka tinggal lebih lama, mengunjungi lebih banyak tempat dan banyak berbelanja.  

“Sehubungan itu, saya menggesa kerajaan negeri  dan pemain industri dalam sektor pelancongan dan kebudayaan khususnya agar memastikan perkhidmatan serta produk yang ditawarkan berkualiti tinggi, terutama mengenai keselamatan kesihatan dan kebersihan.

Bagi membantu pemain industri pelancongan tempatan, Nancy berkata geran padanan Galakan Melancong Malaysia juga diperluas meliputi aktiviti promosi dan pemasaran.

“Kementerian juga telah memperkenalkan Dana Khas bagi Pelancongan atau SFT yang menyokong pembangunan usahawan kecil dan sederhana menerusi pinjaman mudah antara RM50,000 dan RM10 juta, bergantung kepada potensi projek yang dicadangkan. 

“Dana ini dikendalikan oleh SME Bank,” katanya. - BERNAMA

Advertisement