Anda di sini

Peniaga Pasar Tani, Pasar Minggu Medan Niaga Satok lega dapat berniaga semula

Advertisement
Suasana di Pasar Minggu Medan Niaga Satok.
Suasana di Pasar Minggu Medan Niaga Satok.

KUCHING: Rata-rata peniaga di Pasar Minggu Medan Niaga Satok (MNS) dan Pasar Tani Sungai Maong meluahkan rasa gembira dan bersyukur apabila dapat kembali menjalankan perniagaan selepas hampir tiga bulan tidak beroperasi.

Peniaga sayur-sayuran, Jo Siew Gee, 55, dari Bau berkata, dia berterima kasih di atas kebenaran dan saranan kerajaan  yang mengembalikan hak untuk kembali berniaga.

"Setelah hampir tiga bulan tidak berniaga dan duduk di rumah, akhirnya kami dapat berniaga semula. Terima kasih kepada pihak FAMA dan kerajaan kerana memberi kebenaran untuk kami beroperasi mengikut SOP yang telah digariskan kepada kami,” katanya kepada Utusan Borneo hari ini.

Peniaga ayam dan itik segar, Zulkifli Taha berkata, dia rasa amat teruja dan bersyukur setelah dibenarkan berniaga semula di Pasar Minggu MNS meskipun perlu mengikuti SOP.

"Memang apabila diberitahu boleh beroperasi saya rasa sangat gembira sebab dah terputus pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sekarang dah boleh jana pendapatan semula.

"Hari pertama pun dah seronok berniaga biar pun orang tak ramai macam biasa. Harapan nanti selepas ini pelanggan dapat sama-sama menjaga SOP dan tempoh niaga dipanjangkan seperti sedia kala,” ujarnya yang tinggal di Samariang.

Peniaga buah-buahan yang mahu dikenali dengan gelaran Mr. Tan menzahirkan rasa syukur apabila Pasar Minggu MNS dibenarkan beroperasi semula.

Beliau menyifatkan tempoh larangan beroperasi sepanjang PKP sebagai dugaan besar sepanjang bergelar peniaga Pasar Minggu MNS sejak 10 tahun lalu.

“Ini adalah kali pertama saya menerima dugaan sebegini di mana tiga bulan tidak berniaga sejak penguatkuasaan PKP pada 18 Mac lalu. Tapi hari ini, bila sudah dapat berniaga, rasa sangat bersyukur,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung Pasar Minggu MNS, Kushairie Sani, 45, berkata, beliau menyambut baik pembukaan semula pasar ini kerana memudahkannyan untuk membeli barangan keperluan.

“Saya gembira apabila mendapat tahu Pasar Minggu ini dibuka semula, justeru keluar lebih awal untuk membeli bekalan barangan di pasar ini bagi mengelakkan kehadiran ramai orang.

“Sebelum ini, saya terpaksa membeli barangan keperluan seperti sayur-sayuran di pasar raya tapi dengan bukanya pasar ini, ia memudahkan lagi pergerakan saya yang tinggal berdekatan kawasan ini,” ujarnya.

Beliau memberitahu akan mematuhi SOP yang dikenakan sebaik mungkin demi keselamatan dan kesihatan semua.

Semalam, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sarawak, Datuk Dr Mat Sani Hassan berkata, Pasar Minggu di MNS dan sembilan pasar tani lain di seluruh Sarawak akan beroperasi semula  hari ini.

Katanya, pihaknya mengambil keputusan membuka semula kawasan pasar berbumbung di Medan Niaga itu, susulan langkah kerajaan memberi kelonggaran untuk membenarkan pasar tani dan pasar minggu beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Kawasan pasar minggu itu boleh dikunjungi orang ramai mulai pukul 7 pagi sehingga 6 petang hari ini, namun mereka perlu melalui prosedur operasi standard (SOP) ketat termasuk menjalani pemeriksaan suhu badan, menggunakan pelitup muka dan cecair sanitasi tangan serta direkodkan maklumat,”
ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement