Anda di sini

Lelaki mengaku cederakan isteri guna botol penyembur nyamuk

Advertisement

MIRI: Cederakan isteri menggunakan botol penyembur nyamuk, seorang lelaki didenda RM2,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Leona Dominic Mojiliu setelah Liaw Mee Kong, 48, dari Desa Pujut di sini mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama.

Seksyen 323 memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. Manakala seksyen 326A memperuntukkan dua kali ganda hukuman maksima di bawah Seksyen relevan (323).

Menurut keterangan kes, tertuduh didapati dengan sengaja telah mencederakan Lung Ding, 44, dengan memukul isterinya di bahagian muka menggunakan tangan dan tangan kiri menggunakan botol penyembur nyamuk hingga menyebabkan isterinya lebam di mata kiri, sakit di tangan kiri serta belakang badan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 4 pagi, 23 Mac lalu di rumah keluarganya di Desa Pujut, Bandar Baru Permyjaya di sini.

Hasil siasatan lanjut polis mendapati tertuduh bertindak demikian kerana marah setelah isterinya tidak membenarkannya tidur bersama di bilik kerana khuatir tertuduh positif COVID-19 memandangkan dia sering batuk.

Pendakwaan dilakukan ASP Mary Ong, manakala tertuduh diwakili pegam bela Lawrence Low.

Advertisement