Anda di sini

Dua ibu bergaduh, larang AADK tahan anak positif dadah

Advertisement
 Sebahagian dari penagih yang ditahan dalam Ops Enforcement seluruh Sabah.
TAHAN: Sebahagian dari penagih yang ditahan dalam Ops Enforcement seluruh Sabah.

KOTA KINABALU: Dua ibu bertindak bergaduh sesama sendiri bagi mengelakkan anak mereka ditahan pasukan serbuan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam Ops Enforcerment yang dilaksanakan di seluruh Sabah termasuk Labuan.

Pengarah AADK Sabah Abdul Hamediee Ibrahim berkata itu adalah antara cabaran yang dihadapi selain dari tindakan penagih bertindak kasar dan cuba meloloskan diri dari ditahan.

“Kedua-dua ibu yang bergaduh menegaskan serta mempertahankan anak masing-masing dan mendakwa anak mereka terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah disebabkan oleh rakan sebaya.

“Anggota AADK terpaksa menenangkan kedua-dua wanita terbabit bagi meleraikan pertengkaran antara mereka,” katanya.

Bercakap lanjut mengenai operasi terbabit Abdul Hamediee berkata pihaknya menahan 88 individu keseluruhan bermula 22 hingga 24 Jun lalu.

“Kita menjalankan operasi di empat daerah keseluruhan termasuk Kota Kinabalu, Tawau, Labuan dan Keningau iaitu lokasi yang sudah dikenalpasti sebagai kawasan aktif dalam kegiatan dadah.

“Antara kawasan serbuan termasuklah Tanjung Batu, Merotai, Balung di Tawau, Kampung Luagan, Patikang dan Tuarid Taud bagi Keningau, Bukit Kuda, Sungai Bedaun, di Labuan dan Likas, Inanam serta Penampang di sini,” katanya.

Menurutnya kesemua tahanan berumur 17 hingga 51 tahun kini direman untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Sehubungan itu, Abdul Hamediee berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi pejabat AADK Negeri Sabah di talian 088-243576 atau tampil ke mana-mana pejabat AADK berhampiran untuk tindakan segera.

 

  • oleh
  • Advertisement