Anda di sini

Rabies ragut satu lagi nyawa di Sarawak

Advertisement
 

KUCHING: Satu lagi kes kematian akibat rabies dilaporkan di Sarawak membabitkan seorang lelaki berumur 62 tahun dari Sibu. 

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata mangsa meninggal dunia pada 23 Jun 2020 jam 7 petang semasa dalam perhatian rapi pakar perubatan di Hospital Sibu. 

Mangsa menurut Dr Noor Hisham telah digigit di betis kanannya oleh seekor anjing milik saudaranya semasa mengunjungi rumah saudaranya di Jalan Sentosa Barat, Sibu pada 12 Mei 2020. 

Luka kesan daripada gigitan tersebut telah dicuci menggunakan air dan sabun selama 15 minit dan telah mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan. 

Namun mangsa tidak hadir semula ke fasiliti kesihatan tersebut untuk mendapatkan suntikan anti rabies. 

“Mangsa mula mengalami lemah kaki dan sembelit pada 16 Jun 2020 dan dirujuk ke Hospital Sibu pada 19 Jun 2020 untuk rawatan lanjut dan dimasukkan ke wad pada hari yang sama namun meninggal dunia pada 23 Jun 2020. 

“Ujian makmal yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada 25 Jun 2020 mengesahkan mangsa dijangkiti rabies,” katanya. 

Tambah Dr Noor Hisham, ini merupakan kes kedua di Sarawak untuk tahun 2020 dengan jumlah kumulatif kes di Sarawak sejak wabak penyakit ini diisytiharkan pada 1 Julai 2017 adalah 24 kes termasuk 23 kematian. 

Risiko jangkitan rabies di Sarawak menurut Dr Noor Hisham adalah tinggi memandangkan banyak anjing positif rabies dikesan di negeri ini. 

Justeru, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihati orang awam khususnya di Sarawak supaya sentiasa mengambil langkah pencegahan bagi mengelak daripada penyakit rabies. 

Ahli keluarga juga digesa untuk memaklumkan kepada doktor atau pihak kesihatan sekiranya terdapat dalam kalangan ahli keluarga yang digigit haiwan khususnya anjing dan kucing bagi rawatan sewajarnya. 

  • oleh
  • Advertisement