Anda di sini

Empat didenda akibat bergaduh rebut tapak jual sayur di Kota Sentosa

Advertisement
 

KUCHING: Empat individu masing-masing didenda RM700 atau tujuh hari penjara sekiranya gagal membayar oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana bergaduh di tempat awam ekoran berebut tapak menjual sayur-sayuran pada pagi Khamis lalu.

Majistret Zaiton Anuar menetapkan demikian selepas menerima pengakuan bersalah daripada Liew Kuet Hion, 55, Faiznor Ismail, 29, Liew Ka Soon, 25, Phua Wee Woon, 23.

“Bagi pesalah bawah umur berusia 15 tahun dan pesalah muda berusia 19 tahun, mereka masing-masing diarahkan untuk hadir semula ke mahkamah pada 30 Julai depan untuk mendengar laporan akhlak dan laporan sosial.

“Sementara menunggu tarikh tersebut, kedua-dua tertuduh dibenarkan ikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin tempatan,” ujar Zaiton semasa prosiding.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan gaduh gempar di sebuah pasar di Batu Tujuh, Kota Sentosa pada jam 7.30 pagi, 25 Jun lalu. 

Mengikut keterangan kes, pengadu juga merupakan tertuduh dalam kes ini, Liew Ka Soon bersama dengan adiknya (juga tertuduh) sedang berjual sayur apabila tiga orang lelaki tiba-tiba datang dan menyatakan bahawa mereka ingin berjual sama di tempat pengadu. 

Memandangkan tertuduh enggan memberi mereka ruang, ketiga-tiga lelaki tersebut menumbuk, memukul dan menendang tertuduh sehingga terbaring di tapak berniaga. 

Pada masa yang sama, adik tertuduh juga dipukul menggunakan bakul plastik.

Ekoran daripada kejadian itu, tertuduh mengalami luka dan sakit di bahagian muka, siku dan jari kaki sebelah kanan manakala adiknya mengalami luka dan sakit di bahagian dada. 

Hasil siasatan juga mendapati kesemua tertuduh telah bergaduh di tempat awam dan seterusnya mengganggu ketenteraman awam.

Justeru, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 159 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 160 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement