Anda di sini

COVID-19: Genap 17 hari PKPP, kes aktif kurang 200, kadar sembuh antara tertinggi di Asean

Advertisement
 

PUTRAJAYA: Memasuki hari ke-17 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kes jangkitan COVID-19 di negara ini terus menunjukkan perkembangan baik apabila kes aktif kebolehjangkitan mencatat angka kurang 200 iaitu 191 kes.

Lebih membanggakan, kadar penyembuhan kes COVID-19 di Malaysia adalah antara yang tertinggi dalam kalangan negara anggota ASEAN iaitu 96.4 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (gambar) berkata kadar kematian COVID-19 di Malaysia juga antara yang paling rendah di seluruh dunia iaitu 1.41 peratus.

"Tiada kes kematian COVID-19 dilaporkan sejak 12 hari yang lepas. Justeru, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 semakin menurun setiap hari.

"Untuk pertama kalinya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, kes aktif adalah kurang daripada 200 pada hari ini," katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Beliau berkata, genap 17 hari sejak PKPP dikuatkuasakan juga menyaksikan kes baharu harian telah mencapai satu angka selama empat hari berturut-turut mulai 23 Jun dengan merekodkan enam kes hari ini menjadikan jumlah kes positif 8,606 kes.

 Malahan, kes harian penularan dalam negara dalam kalangan warganegara adalah kurang daripada lima kes bagi enam hari berturut-turut. 

"Daripada enam kes baharu yang dilaporkan, lima kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan empat warganegara dan satu bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia di atas urusan kerja, manakala satu kes penularan dalam negara pula melibatkan warganegara," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 23 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan telah discaj daripada wad sebanyak 8,294 kes atau 96.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sehingga kini juga, katanya, hanya dua kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan alat pernafasan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata pendekatan kerajaan dalam pelaksanaan PKPP adalah sebagai sebahagian daripada tindakan pemulihan iaitu untuk menyediakan negara bagi strategi keluar.

Semua pencapaian yang memberangsangkan ini, memberi keyakinan untuk lebih banyak pembukaan semula pelbagai sektor bagi mempertingkatkan ekonomi negara secara tersusun.

"Pematuhan individu, syarikat dan komuniti kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan turut menyumbang kepada pencapaian ini.

"SOP ini disediakan dengan rundingan bersama pelbagai pemegang taruh, agar ianya seimbang iaitu dengan mengambil kira faktor keselamatan rakyat, nyawa dan mata pencarian," katanya.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham mengingatkan peperangan menghadapi virus COVID-19 masih belum tamat dan masyarakat disaran agar kekal berwaspada dan terus patuh kepada SOP serta saranan yang ditetapkan. - BERNAMA

Advertisement