Anda di sini

AADK kenalpasti tujuh kawasan berisiko tinggi penyalahgunaan dadah

Advertisement
 

KUCHING: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak mengenal pasti tujuh kawasan di Sarawak yang berisiko tinggi dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.

Perkara itu ditegaskan Pengarah Wan Madihi Wan Salleh (kiri dalam gambar) yang memberitahu, tujuh kawasan tersebut, Tabuan, Matang dan Kampung Haji Baki di Kuching, Kampung Tanjung Bundong dan Kampung Baru di Samarahan manakala di Miri pula melibatkan kawasan Batu Niah dan Bekenu.

Jelasnya lagi, dalam operasi khas 'Ops Total Enforcement II' yang dijalankan pada 22 hingga 24 Jun lalu di tujuh kawasan tersebut berjaya menahan 63 individu iaitu 41 tangkapan di Miri, 16 orang di Samarahan dan enam orang di Kuching.

"Daripada jumlah itu, 53 orang yang terdiri daripada 52 lelaki dan seorang wanita didapati positif dadah selepas disaring.

"Operasi ini melibatkan kawasan yang berisiko tinggi di Sarawak di lokasi yang dikenal pasti seperti rumah kediaman, premis, sarang penagih di perkampungan dan kawasan persendirian di tujuh kawasan berkenaan," katanya pada sidang media sempena Hari Antidadah Antarabangsa di pejabat AADK Sarawak di sini, hari ini.

Tegasnya lagi, kesemua mereka yang didapati positif akan diambil tindakan di bawah Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998.

Dalam pada itu,  Wan Madihi berkata, bagi tempoh Januari hingga 26 Jun tahun ini, sebanyak 157 operasi telah dilaksanakan AADK Sarawak di negeri ini.

Menurutnya, hasil operasi itu, seramai 511 individu ditahan yang mana 342 daripadanya didapati positif dadah yang kebanyakannya adalah syabu.

Sementara itu, jelasnya, program rawatan AADK dengan menggariskan beberapa kategori dan program pencegahan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika penularan COVID-19 lalu dilaksanakan menerusi dalam talian seperti media sosial, panggilan video, Whatsapp dan sebagainya.

"Lapor diri orang kena pengawasan (OKP) masih lagi dijalankan melalui kaedah dalam talian seperti telefon, panggilan video, aplikasi WhatApp, Telegram dan lain-lain.

"Untuk program rawatan pemulihan PKP dan Pasca PKP, kita ada program Psikososial dalam tempoh PKP berkenaan dan kita juga ada bantuan kepada klien yang terjejas dalam pemberian sumbangan berupa barangan dapur," ujarnya lagi. 

Selain itu, beliau memberitahu AADK Sarawak juga menerima 349 aduan berkaitan kes salah guna dadah bagi tempoh Januari sehingga 9 Jun yang mana sebanyak 173 kes telah diselesaikan manakala 176 kes masih dalam siasatan.

Pada masa sama beliau menyatakan AADK Sarawak kini dalam fasa perbincangan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia dalam melaksanakan ujian calitan (swab test) bagi memastikan tiada penularan covid-19 berlaku dalam kalangan pesalah terutamanya di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN).

  • oleh
  • Advertisement