Anda di sini

Pensyarah beli komputer baru untuk kuliah dalam talian

Advertisement
Abdul Rahman ketika mengendalikan kelas dalam talian.
Abdul Rahman ketika mengendalikan kelas dalam talian.

"Saya beli komputer riba baharu sebab nak ganti yang lama dah buat hal. Masa begini juga ia nak meragam.

"Mungkin sebab pakai lama sangat masa pengajaran dalam talian. Tapi tak apa, setiap perjuangan memerlukan pengorbanan sedikit," luah Ketua Pusat Pengajian Perladangan dan Sains Kesihatan UiTM Sarawak, Kampus Samarahan Profesor Madya Dr Abdul Rahman Saili.

Pengajaran dan pembelajaran dalam talian diperkenalkan institusi pengajian tinggi ekoran penularan COVID-19.

Semua pelajar dihantar balik ke rumah masing-masing bagi mengurangkan risiko penularan virus pembawa maut ini.

Menurut laporan media, pembelajaran dan pengajian dalam talian membabitkan mahasiswa dilakukan sehingga Disember 2020.

Menurut Abdul Rahman, 44, yang mengajar di UiTM kira-kira 18 tahun, pengajaran dan pembelajaran dalam talian memerlukan pensyarah kreatif dalam menyampaikan ilmu.

Tidak semua pelajar dapat menyertai kuliah dalam talian disebabkan faktor liputan Internet di kawasan masing-masing - cabaran ini jelasnya tidak wajar dijadikan penghalang dalam mengadakan kelas.

"Kita pelbagaikan cara, jika tidak dapat menggunakan aplikasi Zoom atau Google Meet, saya selang-selikan dengan cara lain, misalnya merakam video kuliah yang kemudiannya dikongsikan menerusi WhatsApp atau emel.

"Tujuannya agar pelajar saya tidak ketinggalan apa-apa ilmu yang cuba disampaikan," jelasnya sambil menambah, pengajaran dan pembelajaran dalam talian bermula 14 April.

Beliau yang mempunyai 51 pelajar menegaskan, tidak kurang penting juga adalah untuk mengetahui latarbelakang setiap pelajar.

Ada segelintir pelajar menurutnya mempunyai liputan Internet kurang memuaskan, terutama di beberapa kawasan di luar bandar, justeru beliau tidak boleh mengandaikan semua pelajar dapat mengikuti kuliah dalam talian.

Pelajar-pelajar beliau juga mengemukakan soalan-soalan menerusi WhatsApp.

"Saya juga merakamkan suara dan video menerusi WhatsApp mengenai penjelasan terhadap kemusykilan dikemukakan pelajar. Mereka boleh mendengar atau menonton penjelasan saya bila-bila masa," jelasnya ketika dihubungi Utusan Borneo.

Beliau akan meminta setiap mereka menulis ringkasan selepas tamat topik-topik tertentu bertujuan menguji tahap pemahaman pelajar.

Menariknya, pengajaran dan pembelajaran dalam talian akan menjadikan pelajar lebih berdisiplin dan berdikari.

"Semua mereka sudah mampu berdikari. Tidak ada masalah untuk mereka mengikuti pengajian dalam talian. Malah penyertaan para pelajar saya amat memuaskan setiap kali pengajaran dilakukan dalam talian," ujarnya.

Abdul Rahman yang merupakan lulusan Doktor Falsafah dalam bidang Agribusiness, Curtin University, Australia dan mengajar subjek Pemasaran Pertanian amat berpuas hati dengan prestasi akademik setelah pengajaran dan pembelajaran dilakukan dalam talian.

Bagaimanapun beliau akur tidak semua kursus dapat dilakukan menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam talian. Contohnya latihan praktikal untuk perladangan dan kejururawatan yang memerlukan mereka bersemuka.

Advertisement