Anda di sini

Pelajar Orang Asli rentas jalan balak kembali ke sekolah

Advertisement
 Penduduk Orang Asli kelihatan bergotong royong membina rakit kayu di Pos Bihai yang berlumpur bagi memudahkan anak-anak mereka pergi ke Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indera Petra 1 (SMKTIP1) Gua Musang, semalam. — Gambar Bernama
BERGOTONG-ROYONG: Penduduk Orang Asli kelihatan bergotong royong membina rakit kayu di Pos Bihai yang berlumpur bagi memudahkan anak-anak mereka pergi ke Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indera Petra 1 (SMKTIP1) Gua Musang, semalam. — Gambar Bernama

GUA MUSANG: Kira-kira 50 pelajar tingkatan lima dan enam masyarakat Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman di jajahan ini, terpaksa memulakan perjalanan kelmarin dengan menempuh jalan balak yang berlumpur bagi memastikan dapat memulakan persekolahan semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Ab Aziz Yusof berkata pelajar yang tinggal di Pos Bihi, Gob, Simpor dan Belatim itu, dibawa keluar semalam menggunakan pacuan empat roda oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan untuk kembali ke lapan sekolah di bandar itu.

“Mereka bertolak pada 9 pagi dan tiba di sekolah masing-masing jam 4 petang semalam (kelmarin) berikutan jalan balak yang rosak teruk akibat hujan.

“Mereka kemudiannya menginap di asrama dan memulakan sesi pembelajaran pada hari ini sepertimana pelajar-pelajar lain,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, semalam.

Katanya beliau difahamkan masih ada sebilangan pelajar masyarakat Orang Asli yang tidak dapat kembali ke sekolah semalam namun mereka akan berbuat demikian pada Ahad ini menggunakan kaedah sama.

Sementara itu, Ago Along, 53, dari Pos Simpor berkata anak perempuannya, Anis, 17, yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indera Petra I di sini, teruja dapat kembali ke sekolah semalam.

“Walaupun anak berdepan rintangan ketika mahu kembali ke sekolah, namun saya lihat dia tetap bersemangat untuk kembali belajar selepas lebih tiga bulan berada di kampung berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Menghadapi kesukaran untuk kembali ke sekolah adalah perkara biasa bagi kami masyarakat Orang Asli kerana kurang kemudahan seperti masyarakat lain, namun saya harap Anis belajar bersungguh-sungguh dan mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran,” katanya. — Bernama

Advertisement