Anda di sini

Gitar ‘Unplugged’ Cobain dilelong pada harga lebih AS$6 juta

Advertisement
 Gambar ihsan Julien’s Auctions yang diperolehi AFP pada 11 Mei 2020 ini menunjukkan gitar yang dimainkan oleh Kurt Cobain semasa persembahan Nirvana di MTV Unplugged, New York.  — Gambar AFP
GITAR ENAM JUTA: Gambar ihsan Julien’s Auctions yang diperolehi AFP pada 11 Mei 2020 ini menunjukkan gitar yang dimainkan oleh Kurt Cobain semasa persembahan Nirvana di MTV Unplugged, New York. — Gambar AFP

GITAR yang dimainkan oleh ikon ‘grunge rock’ Kurt Cobain ketika dia membuat persembahan MTV Unplugged yang legenda pada 1993 telah dijual pada Sabtu lepas dengan harga lebih AS$6 juta yang memecah rekod, kata syarikat lelongan terbabit.

Gitar akustik-elektrik retro Martin D-18E 1959 yang dipetik oleh Cobain untuk persembahan kumpulan Nirvana yang menjayakan karier mereka di New York – hanya lima bulan sahaja sebelum Cobain membunuh diri pada usia 27 tahun – dijual kepada Peter Freedman, pengasas RODE Microphones, selepas perang bidaan, kata Julien’s Auctions.

Pada harga AS$6.01 juta selepas yuran dan komisen, alat tersebut merupakan gitar paling mahal pernah dijual dalam lelongan tersebut, selain rekod lain.

Harga anggaran permulaan adalah AS$1 juta.

Freedman berkata dia merancang untuk mempamerkan gitar itu dalam jelajah seluruh dunia, dengan perolehan daripadanya yang akan digunakan untuk memanfaatkan seni hiburan.

“Apabila saya mendengar bahawa gitar yang ikonik ini akan dilelong, saya serta-merta tahu bahawa ia adalah peluang sekali-dalam-seumur-hidup untuk mendapatkannya dan menggunakannya sebagai saluran untuk menarik perhatian kepada masalah yang sedang dihadapi dan selama ini dihadapi orang dalam seni hiburan,” warga Australia itu dipetik sebagai berkata oleh Julien’s Auctions.

Gitar itu dijual bersama sarungnya, yang telah dihiasi oleh Cobain dengan risalah dari album ‘Feel the Darkness’ oleh kumpulan ‘punk rock’ Poison Idea pada 1990.

Sebelum ini, gitar paling mahal dalam sejarah adalah gitar Fender Stratocaster, digelar ‘Black Strat’, yang digunakan oleh gitaris kumpulan Pink Floyd, David Gilmour.

Ia telah dijual oleh pemuzik itu dengan harga hampir AS$4 juta dalam satu jualan amal pada Jun 2019.

Persembahan akustik Nirvana sewaktu rakaman bagi siri popular MTV Unplugged pada 18 November 1993 telah menjadi album yang dianggap sebagai salah sebuah album secara langsung paling hebat dalam sejarah.

Ia termasuk persembahan bagi dua buah lagu Nirvana ‘About A Girl’ dan ‘Come As You Are’ selain lagu cover termasuk lagu David Bowie ‘The Man Who Sold the World”.

Pada Oktober 2019, baju kardigan Cobain yang ada kesan bakar rokok dan dipakai sewaktu persembahan ‘Unplugged’ telah dijual dengan harga AS$334,000. — AFP

Advertisement