Anda di sini

Mencari Melayu Timur, generasi Iranun di Tanjung Jabung

Advertisement
 

KUNJUNGAN ke Tanjung Jabung Timur tahun lalu memberikan pengalaman tersendiri kepada saya. Perjalanan itu menjadi sangat penting untuk menyempurnakan misi untuk menelusuri keberadaan masyarakat Melayu Timur, yang memiliki pertalian darah dan sejarah dengan suku bangsa Iranun di Borneo dan di Mindanao.

Di mana Tanjung Jabung Timur itu? Mungkin anda bertanya. Tanjung Jabung Timur adalah sebuah kabupaten di Provinsi Jambi, di Sumatera. Luas wilayah itu kira-kira 13,102,25 km persegi, terletak di Pantai Timur Pulau Sumatera, dengan Laut China Selatan di sebelah utara manakala di sebelah timurnya Kabupaten Muaro jambi, Provinsi Sumatera Selatan di sebelah selatan, dan Tanjung Jabung Barat di sebelah baratnya.

Saya sengaja menyebutnya supaya anda dapat membayangkan di mana letaknya Tanjung Jabung Timur itu.

 Bergambar selepas majlis silaturahim di Kuala Jambi.
BERSEJARAH: Bergambar selepas majlis silaturahim di Kuala Jambi.

Sebelum ini saya tidak tahu dimana letaknya Tanjung Jabung Timur itu, tetapi selepas kunjungan silaturahim bertemu masyarakat Melayu Timur di Pulau Kijang dan Kuala Patah Parang, di Indragiri Hilir, Riau, saya diberitahu bahawa masyarakat Melayu Timur juga boleh dijumpai di Sabak Timur, Mendahara, Nipah Panjang, Kampung Laut dan beberapa tempat lain. Selain itu, ramai juga yang menetap di Kuala Tungkal, Tanjung Jabung Barat.

Masyarakat Melayu Timur ini tergolong unik. Ada di antara mereka masih memelihara tradisi lama seperti Mandi di Kelung, satu ritual yang terdiri dari beberapa prosesi yang dilakukan masyarakat dalam menyembuhkan keluarga yang sakit. Tradisi unik ini tidak terdapat dalam masyarakat lain. Begitu juga, mereka mengenal istilah `tonong' selain memiliki persenjataan seperti kampilan, sundang, panabas dan sebagainya.

Suku Melayu Timur adalah salah satu suku Melayu di Provinsi Jambi.  Menurut cerita turun temurun di kalangan masyarakat ini, nenek moyang mereka diketuai Datu Kedanding, adalah keturunan Iranun yang datang dari Malabang, Mindanao ratusan tahun yang silam.

Ada legendanya sendiri. Menurut cerita rakyat, dahulu di Malabang, terdapat sebuah kerajaan yang dipimpin oleh Sultan Iskandar Bananai.

 Suasana di Kampung Teluk Majelis.
TENANG: Suasana di Kampung Teluk Majelis.

Beliau memiliki dua orang anak, si sulung yang baik bernama Patukan yang baik dan si bungsu yang nakal bernama Mata Empat.Kerana tidak tahan dengan kelakuan si bungsu, Raja memerintahkannya merantau tetapi dia menolak kerana merasa diperlakukan tidak adil.

Mata Empat mahu abangnya juga harus pergi merantau. Raja terpaksa menyuruh Patukan, setengahnya menyebutnya Pangeran Patuka, merantau. Maka mereka pun berlayar sevara terpisah. Pangeran patuka terdampar di pulau Lingga dan menjadi raja di sana.

Selepas mendengar perkhabaran itu, masyarakat di Mindanao menyambut khabar itu dengan gembira dan ada yang meminta izin untuk pindah ke pulau Lingga. Ketika perpindahan itulah, Mereka tersesat ke Kuala Tungkal, termasuklah Datu Kedanding yang dipercayai nenek moyang suku Melayu Timur.

Versi yang lain menyebutkan, masyarakat Melayu Timur adalah keturunan angkatan perang Raja Tempasuk yang membantu Sultan Mahmud III menghalau Belanda dari Tanjung Pinang pada Mei 1787. Sebanyak 30 penjajah dengan kekuatan 1,000 orang berjaya mengalahkan Belanda menyebabkan mereka berundur ke Singapura.

 Mudah dihubungi menggunakan jalan laut.
JALAN LAUT: Mudah dihubungi menggunakan jalan laut.

Menurut Tuhfat Al Nafis karangan Raja Ali Haji, sebahagian angkatan perang itu tidak pulang sebaliknya ikut berpindah ke Lingga apabila Sultan Mahmud memindahkan pusat kerajaan Riau Lingga di sana. Selepas itu, sebahagian mereka pindah ke Reteh, Kuala Tungkal, Enok, Ayer Hitam dan sebagainya.

Salah seorang tokoh pahlawan di Reteh yang terkenal, iaitu Panglima Besar Sulong adalah keturunan hasil perkahwinan Tok Lukus dengan Raja Maimunah, Puteri Sultan Yahya Siak.

Selepas beberapa generasi, akhirnya keturunan Iranun di Riau dan Sumatera dikenali sebagai suku Melayu Timur.

Di Tanjung Jabung, mereka membentuk dialek Melayu tersendiri. Mereka berbicara menggunakan bahasa Melayu Timur dengan dialek 'e'  atau berakhiran 'e' pepet, berbeza dengan suku Melayu Jambi yang kebanyakannya menggunakan dialek 'o'.  Contohnya dimane (di mana), nak kemane (nak ke mana) ape (apa), sedare (saudara) dan sebagainya

Kalau ditanya, apa pula kosakata bahasa Iranun yang masih tertinggal dalam masyarakat Melayu Timur, mungkin tidak banyak seiring berjalannya waktu.

Selain itu, adat resam seperti mandi air laut,makan di kelong dan sebagainya.

 Bergambar bersama masyarakat di Kuala Jambi.
BERSAMA MASYARAKAT: Bergambar bersama masyarakat di Kuala Jambi.

Dari segi kosakata Iranun yang terdapat dalam bahasa melayu timur seperti degan (banjir) busau ( pelahap) tonong, pamanai ( bendera kecil) apu ( nenek) baie ( puteri) pingkak (cacat kaki), kumpai (sj Kiambang) , gapus (peluk)  dan sebagainya.

Selain itu terdapat banyak persamaan dalam masakan, seni pencak silat dan juga kulintangan dan sebagainya.

Masyarakat Melayu Timur adalah penganut agama Islam dan budaya mereka sangat dipengaruhi ajaran Islam, walaupun dahulu masih ada amalan animisme seperti mandi di kelung dan kepercayaan kepada tonong atau gimbaran atau kuasa makhluk ghaib.

Dalam kunjungan kami ke Tanjung Jabung Timur tahun lalu, rombongan seramai 12 orang mewakili Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun Sabah (BKI) diketuai Haji Masrin Haji Hassin dibawa berkunjung ke Teluk Majelis, di kecamatan Kuala Jambi.

Teluk Majelis adalah  sebuah desa yang terletak dalam (daerah) kecamatan Kuala Jambi, Kabupaten Tanjung Jabung Timur, Provinsi Jambi, Indonesia.

Sebelum itu, kami mengadakan pertemuan dengan Pak H Romi Hariyanto, Bupati Tanjung Jabung Timur sekaligus dijamu makan tengahari. Kemudian, kami bergegas menghadiri majlis sambutan di Kuala Jambi sebelum dibawa ke Desa Teluk Majelis.Hadir sama ialah Setiausaha Sekretariat Adat Melayu Tanjung Jabung Timur, Ahmad Suwandi dan camat Kuala Jambi, Pak Taufiq Kurniawan.

Saya rasa gembira kerana dapat bertemu Raja Yanto, walau cuma sebentar. Beliau antara yang paling banyak membantu menghubungkan saya dengan tokoh-tokoh Melayu Timur di Tanjung Jabung Melayu Timur.

Sebelumnya, antara tokoh-tokoh Melayu Timur yang sempat kami temui ialah Abdullah Hik, mantan Bupati Tanjung Jabung Timur, Pak Agus Rama, anggota DPR di Jambi. Cuma kami tidak sempat bertemu mantan Gubenur Jambi Zumi Zola, iaitu anak kepada mantan Gubernur Zulkifli Nurdin. Datuknya, Nurdin Hamzah adalah seorang tokoh Melayu Timur yang terkenal di Jambi.

 Sebuah sekolah di Teluk Majelis.
PENTINGNYA PENDIDIKAN: Sebuah sekolah di Teluk Majelis.

Dalam kunjungan itu, kami juga ditemani Pak Eri Argawan dari Dinas Budaya dan Pariwisata Propinsi Jambi, Pak Harkopolo Lie, seorang ahli perniagaan pemilik Tempoa Inn yang juga pencinta Seni dan Pak Sakti Alam Watir, seorang wartawan senior dari Jambi.

Kunjungan ke Tanjung Jabung Timur sambil menelusuri jejak sejarah zaman bahari diharap dapat mengukuhkan lagi hubungan antara masyarakat Iranun di Sabah Malaysia dan Melayu Timur di Jambi dan Riau. Semoga ada manfaatnya dalam mengeratkan lagi persaudaraan antara Malaysia dan Indonesia.

  • oleh
  • Advertisement