Anda di sini

Memandu melulu: Lelaki dipenjara enam bulan, denda RM5,000

Advertisement
 Tertuduh (dua kiri) diiring keluar oleh ASP Joan Lee (kiri) selepas prosiding mahkamah.
TERIMA PADAH: Tertuduh (dua kiri) diiring keluar oleh ASP Joan Lee (kiri) selepas prosiding mahkamah.

TAWAU: Mahkamah Majistret di sini semalam menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM5,000 terhadap seorang lelaki selepas mengaku bersalah memandu secara melulu.

Tamring Ismail, 43, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Merotai/Bombalai, dalam daerah Tawau, pada 18 Jun, jam 7.50 malam.

Mengikut kertas pertuduhan yang dibacakan, tertuduh didakwa menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya dengan memotong konvoi tiga buah kenderaan sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) sepanjang lapan kilometer dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abaka ke Taman Semarak.

Tertuduh juga telah diberikan amaran sebanyak empat kali oleh anggota PGA, namun tidak diendahkannya dan terus menunggang motosikal dengan menyelinap antara konvoi kenderaan pasukan keselamatan itu.

Untuk itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau Amir Shah Amir Hassan kemudian menjatuhkan hukuman penjara terbabit bermula semalam, dan tambahan empat bulan penjara jika gagal membayar denda.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Joan Lee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, kejadian berlaku apabila sekumpulan 11 anggota PGA menaiki tiga kenderaan dalam perjalanan dari Ibu Pejabat PGA Briged Sabah menuju ke Batalion 14 PGA Tawau.

Sebaik tiba di hadapan SMK Abaka, sebuah motosikal yang dinaiki seorang lelaki (tertuduh) ditunggang secara melulu dan menyelit pada konvoi kenderaan PGA.

Tertuduh juga dikatakan melakukan perbuatan biadap dengan menunjukkan isyarat jari tengah kepada semua anggota PGA berkenaan menyebabkan mereka mengejar dan berjaya memintas motosikal tertuduh.

  • oleh
  • Advertisement