Anda di sini

Drama dialek Pahang dan Perak, ‘Madu’ dan ‘Heri Bota’ curi hati penonton RTM

Advertisement
 

PELBAGAI bangsa dan loghat mengikut negeri masing-masing menjadikan Malaysia sememangnya unik. Malah penggunaan dialek ini semakin meluas hingga dipilih sebagai ‘penyeri’ kepada sesebuah filem atau drama diterbitkan untuk tontonan seluruh masyarakat.

Justeri tidak hairanlah dua telemovie yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) iaitu ‘Madu’ menerusi saluran TV Okey (Astro 146) dan ‘Heri Bota’ disiarkan TV1 baru-baru ini menerima impak baik daripada kalangan penggemar drama-drama Melayu.

Dua drama ini diperkatakan dekat di hati penonton bila mana penggunaan loghat Pahang dalam ‘Madu’ jarang-jarang sekali diketengahkan dalam sesebuah drama. Apatah lagi membariskan pelakon utama yang sememangnya anak Pahang menonjolkan lagi warna sebenar jalan cerita dibawakan.

Menariknya dalam drama ini turut diselitkan loghat Negeri Sembilan oleh watak Lan Laga. Begitu juga penggunaan loghat Perak dalam ‘Heri Bota’ yang watak utamanya dihidupkan pelakon berasal dari negeri Perak sendiri.

Berita baik pastinya kerana bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang bila-bila masa untuk menontonnya semula menerusi portal online, Myklik dan juga dapat ditonton melalui aplikasi rtm mobile.

Plot cerita ‘Madu’ tentang memiliki anak sendiri. Itulah yang diimpikan oleh pasangan suami isteri, Muslim (Taqim Zaki) dan Salwa (Noorkhiriah) setelah sembilan tahun berumahtangga.

Apatah lagi melihat anak jiran yang juga sahabat baik mereka, Mail (Amerul Affendi) dan Mastura (Eida Moin) yang semakin membesar.

Situasi itu merunsingkan hati Salwa dan pada masa sama Mastura mencadangkan Salwa berubat cara tradisional dan moden. Salwa melakukan ikhtiar ke pusat rawatan menemui doktor pakar tentang kesuburan suami isteri. Malangnya dia tidak mampu membayar ubat berharga ribuan ringgit.

Mastura memujuk Salwa supaya mencarikan isteri kedua untuk Muslim. Mulanya Salwa mengamuk besar namun akhirnya dia lembut hati dengan alasan payung emas dikatakan Mastura kepadanya.

Salwa meminta Muslim mencarikannya ‘madu’.Muslim yang lurus bendul mengajak Mail mencari madu kelulut yang dipercayai dapat menyuburkan seseorang untuk mendapatkan anak.

Mereka meminta bantuan Lan Laga (Han Zalini) dan Akob Balun (Azroy Khairuddin) dalam misi mendapatkan madu tualang yang menurut Lan Laga lebih berkesan daripada madu kelulut.

Berlaku pelbagai insiden kepada mereka untuk mendapatkan madu tersebut. Sikap Mastura yang tidak menjaga perasaan Salwa sebagai sahabat terbalas dengan calon madu sahabatnya itu sebenarnya adalah calon madunya sendiri.

Sementara itu drama ‘Heri Bota’ pula berkisar dek kerana abah selalu memandang rendah terhadap Heri, dia nekad meninggalkan kampungnya dan berhijrah ke Kuala Lumpur.

Setahun berlalu, kecoh kampung Bota dibuatnya bila wajah Heri sebagai pelakon terpampang di dada akhbar.

Pada masa yang sama, abah meminta Heri pulang ke kampung. Sebelum pulang ke kampung, Heri telah bertemu dengan sahabat baiknya, Peng Liong dan Muniandy. Yang pasti, pertemuan dengan Rizal telah mengubah kehidupan Heri. Tapi benarkah Heri bekerja sebagai pelakon semasa di Kuala Lumpur?

Drama ini lakonan berkesan Aedy Ashraff, Norkhiriah Ahmad Shapie, Kazaruddin Saisi, Hamdan Senario, Dewa Sapri, Delimawati dan Arja Lee.

Advertisement