Anda di sini

Anak Mat Sabu dipenjara lapan bulan kerana dadah 

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap anak bekas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu selepas didapati bersalah atas pertuduhan penyalahgunaan dadah di sebuah hotel terkemuka tahun lepas.

Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu ke atas Ahmad Saiful Islam Mohamad, 32, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah memerintahkan Ahmad Saiful Islam menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini dan mengarahkannya menjalani dua tahun pengawasan di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) serta polis sejurus selesai menjalani hukuman penjara itu.

Mohamad Aizat ketika membuat keputusan itu berkata keterangan tertuduh tidak disokong oleh mana-mana bukti lain dan menjadikan versi pembelaan tidak boleh dipercayai.

"Setelah meneliti hujahan kedua-dua pihak serta mendengar keterangan kesemua saksi pendakwaan dan pembelaan selain menilai keseluruhan kes pendakwaan dan pembelaan secara maksimum, mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

"Oleh itu, tertuduh didapati bersalah dan disabitkan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan memerintahkan tertuduh membayar jaminan RM9,000 serta menyerahkan pasport kepada mahkamah selain melapor diri sebulan sekali di balai polis berdekatan.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Saiful Islam didakwa menggunakan dadah jenis THC, di sebuah hotel di sini, pada 2.05 pagi, 5 Januari 2019. Dia dituduh mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada 3 Januari lepas, mahkamah memerintahkan Ahmad Saiful Islam membela diri terhadap pertuduhan itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatin Mohamad Farid memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran dengan mengambil kira kes-kes pengambilan dadah yang semakin meningkat selain kes ini turut mendapat liputan pihak media.

"Tertuduh tidak mengaku bersalah sejak dituduh sehingga disabitkan dan telah mengambil masa pihak mahkamah. Pohon hukuman setimpal supaya dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat," katanya.

Peguam Datuk Nicholas Kow yang mewakili Ahmad Saiful Islam pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk denda atau bon seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 294 dan Seksyen 173A Kanun Tatacara Jenayah (CPC) terhadap anak guamnya atas alasan tertuduh merupakan penanggung tunggal keluarga kerana isterinya tidak bekerja.

"Anak guam saya tidak mempunyai sebarang kesalahan lampau dan pohon hukuman penjara tidak dikenakan ke atasnya kerana ia akan menyukarkan anak guam untuk mencari pekerjaan apabila mempunyai rekod penjara dan keluarganya juga akan hilang tempat bergantung," katanya.

Enam saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan termasuk tertuduh memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu yang bermula 15 Oktober tahun lepas. - Bernama