Anda di sini

Lanjutkan tempoh diskaun bil elektrik dan air

Advertisement
SIM FUI
SIM FUI

KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Parti Liberal Demokratik (LDP) Pusat merayu kepada kerajaan agar melanjutkan tempoh potongan harga untuk bil bekalan air serta elektrik yang akan tamat pada akhir bulan ini.

Ketua Pergerakan Pemuda Parti Liberal Demokratik (LDP) Pusat Sim Fui, menyifatkan usaha seumpamanya mampu meringankan beban kewangan kepada semua pengguna termasuk komuniti peniaga yang menerima kesan akibat pandemik COVID-19.

Katanya, Kerajaan Negeri telah memberikan kemudahan diskaun sebanyak 30 peratus terhadap penggunaan bil elektrik serta pengecualian pembayaran bil air dari April lalu sehingga Jun ini bagi mengurangkan impak pandemik berkenaan terhadap pengguna.

"Usaha ini tidak dinafikan telah memberikan manfaat kepada para pengguna dalam meringankan bebanan masing-masing.

"Bagaimanapun, keistimewaan berkenaan akan tamat pada hujung Jun ini dan pada masa yang sama sektor ekonomi masih menerima kesan impak COVID-19," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berharap, kerajaan negeri sekali lagi akan mempertimbangkan untuk melanjutkan pemberian diskaun terhadap bil elektrik dan air.

Katanya, walaupun kerajaan berusaha menyediakan peruntukan bagi merangsang ekonomi dan membenarkan lebih banyak sektor perniagaan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga kini, tetapi bagi memulihkan keadaan ekonomi masih memerlukan satu tempoh yang lama.

"Perkara ini tidak dapat diselesaikan dalam satu malam sahaja, walaupun berjaya mengawal kes positif baharu COVID-19, tetapi komuniti perniaga masih bimbang bahawa wabak berkenaan mungkin akan kembali sepanjang tempoh PKP Pemulihan ini.

"Gelombang kedua pandemik ini boleh melanda pada bila-bila masa," katanya.

Menurutnya, banyak perniagaan berkaitan pelancongan di sini telah tutup akibat tidak mampu menampung kerugian dialami setiap bulan.

Katanya, walaupun bukan semua perniagaan berkenaan telah tutup tetapi ramai dalam kalangan peniagaan tidak lagi mampu menanggung keadaan yang dihadapi terkini.

Oleh itu katanya, lanjutan diskaun terhadap bil air dan elektrik dilihat mampu membantu golongan berkenaan bagi mengatasi tempoh yang mencabar ini.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan barisan hadapan dengan sumbangan serta pengorbanan yang diberikan.

"Tanpa mereka, usaha memerangi pandemik ini tidak mungkin akan berjaya dilaksanakan," katanya.