Anda di sini

Bob Dylan kembali dengan album baharu selepas hampir sedekad

Advertisement
 

PENYANYI lagu masyarakat legenda Amerika Syarikat Bob Dylan mengeluarkan album pertamanya yang merangkumi lagu-lagu asal dalam tempoh lapan tahun pada Jumaat lepas dengan album 10 lagu ‘Rough and Rowdy Ways’.

Album studio Dylan yang ke-39 memaparkan balada 17 minit tentang pembunuhan John F Kennedy, selain penghormatan kepada artis ‘electric blues’ Amerika, Jimmy Reed.

‘Rough and Rowdy Ways’ merupakan koleksi bahan baharu daripada pemenang anugerah Nobel itu sejak ‘Tempest’ pada 2012, walaupun dia ada mengeluarkan beberapa album cover sejak itu.

Ia menyaksikan Dylan mengadun permainan gitar irama blues dengan penceritaan lagu masyarakat, dengan suaranya yang garau menyampaikan lirik yang bertukar ganti di antara kesuraman lirik yang memukau dengan lawak gelap.

Kadang-kadang bunyinya mesra, pada masa lain kritikannya pedas.

Dalam lagu pembukaan album ‘I Contain Multitudes’, legenda berusia 79 tahun itu bergelut dengan mortaliti.

Dia bermula dengan bernyanyi dengan lemah-lembut, “Today and tomorrow and yesterday too / The flowers are dying like all things do.”

Kemudian dia berkata: “I sleep with life and death in the same bed.”

Dylan ditanya mengenai lirik itu dalam wawancara baru-baru ini dengan akhbar The New York Times, yang pertama baginya sejak dia memenangi Hadiah Kesusasteraan Nobel pada 2016.

“Saya memikirkan tentang kematian umat manusia. Perjalanan aneh yang jauh bagi beruk besar yang telanjang,” jawabnya.

“Saya bukannya mahu bersikap sambil lewa mengenainya, tetapi kehidupan semua orang begitu sementara. Setiap manusia, tidak kira betapa kuat atau agung, adalah lemah bila berdepan dengan kematian. Saya memikirkannya dalam terma umum, bukan dalam cara peribadi.”

Lagu-lagu merangkumi budaya pop abad ke-20, menyentuh tentang mitos dan merujuk kepada figura fiksyen dan bersejarah – ada yang ringan, ada pula yang tragis.

Dalam ‘I Contain Multitudes’, Dylan menyebut Indiana Jones, Anne Frank dan kumpulan Rolling Stones dalam ayat yang sama.

‘Murder Most Foul’, yang pertama kali diumumkan pada Mac lalu, menceritakan semula tentang pembunuhan Presiden Kennedy di Dallas, Texas sambil menggambarkan evolusi budaya balas pada zaman 1960an.

Lagu ini, yang naik untuk menduduki tempat teratas dalam carta Billboard, penuh dengan nama artis termasuk kumpulan Eagles, Charlie Parker, Stevie Nicks, Woodstock dan The Beatles.

Dylan – dengan beberapa lagunya yang paling disukai pada zaman 1960an dan 70an yang menangani kekejaman polis dan rasisme, seperti ‘Hurricane’ – turut menyebut tentang pembunuhan kaum beramai-ramai di Tulsa pada 1921.

‘Birdman of Alcatraz’, salah seorang pembunuh bersiri yang paling kejam di Amerika, turut disebut.

Menceritakan semula pembunuhan Kennedy, Dylan bernyanyi: “We’re gonna kill you with hatred, without any respect / We’ll mock you and shock you and we’ll put it in your face / We’ve already got someone here to take your place.”

Dalam ‘False Prophet’, lagu kedua selama enam minit dalam album itu, Dylan kedengaran bongkak dan enggan memohon maaf apabila dia menangani mitologinya sendiri.

“I ain’t no false prophet / I just said what I said / I’m just here to bring vengeance on somebody’s head,” dia bernyanyi diiringi permainan gitar irama blues yang perlahan.

Walaupun sudah lanjut usia, Dylan, yang dianugerahi Pingat Kebebasan Presiden oleh Barack Obama pada 2012, telah menjelajah hampir tanpa henti-henti sejak tiga dekad lalu.

Krisis koronavirus memaksanya untuk membatalkan beberapa konsert di Jepun dan Amerika Utara pada musim bunga dan musim panas ini, tetapi dia telah berjanji untuk kembali menjelajah apabila keadaan sudah selamat untuk berbuat demikian. — AFP

Advertisement